Jurulatih Dari Jepun Atau Korea Selatan Jadi Pilihan Kendalikan Pasukan Negara

Image of Jurulatih Dari Jepun Atau Korea Selatan Jadi Pilihan Kendalikan Pasukan Negara
Pengganti kepada bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sehingga kini masih lagi menjadi teka-teki dimana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum melantik ketua jurulatih baharu.

Beberapa ketua jurulatih, baik dalam dan luar negara dikaitkan dengan kerusi panas tersebut namun FAM masih belum membuat keputusan mengenai siapa yang bakal mengendalikan skuad senior negara. Menurut salah satu sumber yang memberitahu Vocket FC, badan induk itu telah mempunyai senarai pendek ketua jurulatih yang berpotensi untuk menggantikan Tan Cheng Hoe dan jurulatih yang berada dalam senarai ialah jurulatih dari luar negara.

“Banyak nama yang dikaitkan untuk menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan sejak Tan Cheng Hoe meletak jawatan baru-baru ini, baik jurulatih yang ada dalam saingan Liga Malaysia ataupun dari luar negara.

“Buat masa sekarang, barisan jurulatih yang sedang dibincangkan ialah dari Sepanyol, United Kingdom, Jepun dan Korea Selatan. Namun, kecenderungan mereka lebih kepada jurulatih dari Asia iaitu dari Jepun atau Korea Selatan,” kata sumber tersebut.

Antara jurulatih yang dikaitkan dengan skuad Harimau Malayaia ialah pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak yang pada mulanya berminat namun kemudiannya membuat kenyataan beliau mahu kekal bersama juara Piala Malaysia 2021 itu bagi menghadapi saingan musim 2022.

Selain Bojan, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Kiatisuk Senamuang atau yang lebih dikenali sebagai Zico turut disebut sebagai salah satu calon yang bakal menggantikan Tan Cheng Hoe.

Pengarah Teknikal FAM yang baru dilantik, Scott O’Donell mencadangkan kepada pengurusan tertinggi FAM untuk melantik jurulatih asing bagi mengemudi pasukan negara.

“Saya melihat bahawa skuad Harimau Malaya selepas ini perlu dibimbing oleh jurulatih asing bagi mengubah landskap dan masa depan bola sepak Malaysia ke satu dimensi baharu, bukan hanya untuk jangka masa pendek tetapi jangka masa panjang,” jelasnya.

Tan Cheng Hoe meletak jawatan setelah Malaysia gagal untuk melangkah ke peringkat separuh akhir saingan Piala AFF Suzuki 2020 baru-baru ini.

9th January, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved