Teong Kim Dedah Punca Kekalahan Skuad B23 Negara di Pentas AFF

Image of Teong Kim Dedah Punca Kekalahan Skuad B23 Negara di Pentas AFF
Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim mempertahankan prestasi mengecewakan barisan pemain muda negara pada kempen Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja.

Teong Kim yang juga bekas Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) mendakwa kegagalan skuad bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney bermain dengan baik adalah impak daripada proses pembangunan bola sepak belia di negara yang tidak sistematik.

"Pembangunan seseorang pemain mesti melalui proses yang sistematik dan ini tidak ada di Malaysia. Situasi bola sepak kita tidak memberi pemain-pemain remaja untuk maju, jadi kita tidak boleh menyalahkan mereka.

"Saya sudah banyak kali berkata jika FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) tidak melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengadakan liga-liga remaja, jangan harap bola sepak Malaysia akan maju," katanya dalam hantaran di Instagram miliknya, hari ini.

Menurut Teong Kim, FAM dan MFL adalah entiti yang seharusnya menyediakan serta melengkapkan segala landasan untuk pembangunan bola sepak di negara.

Pada masa sama, bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich selama 12 tahun itu berkata antara perubahan yang perlu dilakukan adalah mewujudkan lebih banyak liga di peringkat remaja, mengehadkan tiga pemain import bagi setiap pasukan Liga Super dan Liga Perdana.

Selain itu katanya kebenaran untuk pasukan 'feeder' menurunkan pemain import dalam saingan Liga Perdana juga perlu ditarik.

Malaysia menamatkan kempen Kejuaraan B-23 AFF 2022 dengan pencapaian memalukan selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan susulan kekalahan 0-2 kepada Laos pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Morodok Techo, semalam.

Ia adalah kemenangan kedua Laos ke atas Malaysia pada saingan kumpulan selepas turut mengutip tiga mata dengan kejayaan 2-1 pada aksi pembukaan yang berlangsung di Stadium Prince, Jumaat lalu.

Sebagai rekod, saingan Kumpulan B hanya melibatkan Malaysia dan Laos.

23rd February, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved