Kedah Dijangka Berdepan Laluan Mudah Saingan Piala FA

Image of Kedah Dijangka Berdepan Laluan Mudah Saingan Piala FA
Kuala Lumpur: Juara bertahan Piala FA, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meraih undian mudah apabila diundi berdepan kelab Liga M3, Sains FC dalam pusingan pertama kempen Piala FA musim ini.

Selepas tidak dianjurkan selama dua musim ekoran pandemik Covid-19, KDA FC yang memenangi trofi itu pada 2019 dijangka tidak berdepan masalah besar untuk melepasi halangan awal itu.

Malah, beberapa kelab bertaraf gergasi seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC, Sri Pahang FC dan Sabah FC dilihat berpeluang mengatasi lawan di pusingan pertama itu selepas turut diundi menentang kelab dari Liga M3.

Begitupun, nasib tidak menyebelahi Terengganu FC apabila terpaksa menekan 'gear lima' lebih awal apabila diundi berdepan seteru yang kuat di peringkat sama.

Lawan skuad Penyu di peringkat itu adalah juara Liga Perdana musim lalu, Negeri Sembilan FC yang bakal memberi tentangan sengit sekali gus dianggap perlawanan tumpuan di pusingan pertama kali ini.

Selain itu, Petaling Jaya City dari Liga Super juga dijangka 'bermandi peluh' selepas diundi bertemu kelab dari Liga Perdana, Kelantan FC yang pernah menjulang trofi Piala FA sebanyak dua kali iaitu pada 2012 dan 2013.

Malah, aksi sengit antara dua pasukan Liga Perdana, Kuching City FC dan UiTM FC juga bakal menghangat suasana di pusingan awal itu, dengan masing-masing memburu kemenangan untuk layak ke peringkat seterusnya.

Berdasarkan format pertandingan, pemenang di pusingan pertama ini akan diundi semula bagi menentukan lawan di saingan kedua nanti dengan juara Piala FA meraih slot ke Piala AFC musim depan.

24th February, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved