Perak dan Kelantan Bakal Disingkirkan dari Liga Malaysia

Image of Perak dan Kelantan Bakal Disingkirkan dari Liga Malaysia
Menurut ciapan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam penyertaan Kelantan FC di pertandingan Piala Belia dan Kelantan FC di Piala Belia dan Piala Presiden pada musim ini tidak akan berlaku selepas kedua-dua kelab gagal melengkapkan pendaftaran pemain pada tarikh turut pendaftaran 18 Februari lalu.

Sebelum ini Kelantan FC telah memohon untuk menarik diri daripada pertandingan Piala Belia sehingga menyebabkan kelab itu didenda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 13 Februari lalu kerana tindakan tersebut.

Berdasarkan kes dan denda yang dikenakan ke atas Kelantan FC, nasib sama juga dipercayai bakal diterima oleh Perak FC selepas ini.

Bagaimana pun timbul pertanyaan lain selepas itu. Adakah cukup sekadar mendenda kedua-dua pasukan?

Berdasarkan peraturan pelesenan kelab dan pertandingan Liga Malaysia yang digubal sendiri oleh FAM dan Malaysian Football League (MFL), kedua-dua pasukan sebenarnya tidak layak memperolehi lesen kebangsaan untuk bertanding di Liga Malaysia disebabkan perkara di atas.

Malah kedua-duanya dianggap tidak memiliki syarat yang dianggap mandatori untuk mendapatkan lesen kebangsaan.

Berdasarkan ciapan dan perkongsian salah seorang pengguna Twitter di atas, setiap pasukan yang bertanding di Liga Super Malaysia (MSL) harus memiliki empat pasukan peringkat umur.

Manakala pasukan yang bertanding di Liga Premier pula harus memiliki sekurang-kurangnya tiga pasukan peringkat umur. Tanpa pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia, ini bermakna Perak FC dan Kelantan FC sudah tidak memiliki dua pasukan bawah umur.

Untuk rekod, selain skuad Piala Presiden dan Piala Belia yang dikhususkan untuk pertandingan B-21 dan B-19, setiap pasukan di Liga Malaysia juga dibenarkan untuk bertanding di peringkat U-17 dan U10 (Rujuk ciapan di atas).

Jadi apakah tindakan susulan FAM dan MFL selepas ini. Adakah FAM akan menarik balik lesen bertanding kedua-dua pasukan, sekali gus memaksa MFL membatalkan penyertaan Perak FC dan Kelantan FC di saingan Liga Malaysia pada musim ini?

Perkara tersebut mungkin tidak terjadi pada masa ini kerana penilaian pelesenan kelab dilakukan sekitar Oktober tahun lalu untuk pertandingan pada musim ini.

Ketiadaan penganjuran pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia sejak dua musim lalu menyebabkan kedua-dua pasukan secara teknikal memenuhi syarat minimum.

Bagaimana dengan saingan Liga Malaysia pada musim 2023 selepas pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia diteruskan pada musim 2022 ini?

Jika peraturan tersebut diambil kira, hukuman berat pasti menanti kedua-dua pasukan, melainkan Perak FC dan Kelantan FC mampu bermain ‘silap mata’?

Sukar untuk membayangkan kedua-dua pasukan disingkir terus daripada saingan Liga Malaysia pada musim hadapan. Atau adakah akan ada pengecualian untuk Perak FC dan Kelantan FC – yang bermaksud peraturan sedia ada diabaikan oleh kedua-dua badan itu sekiranya berlaku?

Pasti semua pihak mahu tahu maklum balas daripada kedua-dua badan bola sepak itu mengenai situasi kedua-dua kelab selepas ini.

24th February, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved