Harimau Malaya berdepan ranjau kelayakan Piala Asia 2023

Image of Harimau Malaya berdepan ranjau kelayakan Piala Asia 2023
KUALA LUMPUR: Pasukan di ranking ke-89 yang juga pasukan terbaik daripada Balang 1 iaitu Bahrain bakal menjadi antara lawan buat skuad Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2023, Jun ini.

Dua pasukan itu diundi dalam Kumpulan E bersama pasukan yang kini berada di ranking 134 dunia, Turkmenistan.

Pasukan di ranking ke-186 dunia, Bangladesh melengkapkan satu lagi pasukan dalam Kumpulan E untuk tiga aksi yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur itu.

Semua pasukan akan berentap dalam tiga perlawanan yang akan berlangsung pada 8, 11 dan 14 Jun ini. Di atas kertas, anak buah Kim Pan Gon itu pasti berdepan cabaran sukar namun setidak- tidaknya mereka memiliki motivasi terbaik apabila berpeluang beraksi di laman sendiri.

Status sebagai tuan rumah pasti menyuntik semangat pemain dalam misi mencipta kejutan untuk mara ke pusingan akhir di China, tahun depan.Sebagai rekod, juara setiap kumpulan dan lima naib juara terbaik akan mengesahkan tiket ke pusingan akhir.

Setakat ini, 13 pasukan sudahpun layak ke China iaitu China sebagai tuan rumah, Australia, Iran, Jepun, Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi, Syria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain juara kumpulan pusingan kedua. Empat lagi pasukan layak sebagai naib juara terbaik iaitu Iraq, Lubnan, Oman dan Vietnam. Keputusan undian: Kumpulan A - Jordan, Kuwait, Indonesia, Nepal Kumpulan B - Palestin, Filipina, Yaman, Mongolia Kumpulan C - Uzbekistan, Thailand, Maldives, Sri Lanka Kumpulan D - India, Hong Kong, Afghanistan, Kemboja Kumpulan E - Bahrain, Turkmenistan, MALAYSIA, Bangladesh Kumpulan F - Kyrgyzstan, Tajikistan, Myanmar, Singapura

28th February, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved