Tukar Jurulatih Jika Prestasi Selangor Masih Sama

Image of Tukar Jurulatih Jika Prestasi Selangor Masih Sama
LEGENDA bola sepak negara dan bekas pemain Selangor, Khalid Ali berpendapat Selangor FC perlu menggantikan pengendalinya, Michael Feichtenbeiner jika skuadnya gagal mempamerkan perubahan positif dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.

Menurutnya, Feichtenbeiner yang menyertai Selangor pada penghujung 2019 sebagai pengarah teknikal dan hanya dilantik mengemudi pasukan bermula musim ini, tahap prestasi juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu tidak menunjukkan sebarang peningkatan sejak kehadirannya.

Situasi itu menggusarkan Khalid apabila mengenangkan nasib serta hala tuju pasukan kesayangannya, apatah lagi Selangor turut dihimpit rekod kemarau kejuaraan yang membimbangkan selepas enam tahun menamatkan saingan Liga Malaysia (Liga M) tanpa piala.

"Saya tak nampak ada perubahan dari tahun ke tahun, dan itu yang menjadi masalah kerana beliau (Feichtenbeiner) ada pemain yang baik tapi tidak boleh memotivasikan mereka bermain lebih baik daripada sebelumnya.

"Sebagai jurulatih mesti ada perubahan positif yang dibuat pada pasukan, tetapi kalau corak permainan masih sama macam dulu saya rasa tiada makna kita simpan jurulatih seperti itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Kali terakhir skuad Gergasi Merah menikmati kejayaan adalah ketika menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2015, sebelum terlepas peluang mempertahankan kejuaraan sama pada musim berikutnya apabila kecundang kepada lawan sama di pentas final.

Selangor juga masih gagal menamatkan penantian 12 tahun menjuarai Piala FA dengan pencapaian terbaik, sejak menjulang trofi kejuaraan itu pada 2009 adalah mara ke perlawanan akhir pada musim 2018, namun kecundang 0-2 di tangan Pahang.

Dalam kancah saingan Liga Super, rekod terbaik Selangor selepas menjuarai musim 2010 adalah muncul naib juara pada 2013, 2014 dan 2015, selain menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan terbaik pada musim 2019.

Khalid menyifatkan kemarau enam tahun tanpa kejuaraan sesuatu yang amat mengecewakan, kerana ia menggambarkan kejatuhan pasukan yang satu ketika dulu merupakan gergasi bola sepak tempatan.

Beliau yang tetap mengharapkan Selangor berjaya meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini, bagaimanapun mengakui ia satu misi yang sukar sekiranya pasukan gagal memperbaiki prestasi dan corak permainan ketika ini.

"Mereka (pemain) bermain corak permainan bersendirian, tidak bolehlah begitu. Sepatutnya bermain sebagai satu pasukan tetapi saya tak nampak ia berlaku, berdasarkan pergerakan pemain.

"Saya nampak jika pemain A pergi, pemain B dan C tidak langsung menyokong. Ia sangat ketara," katanya.

Justeru, bekas penyerang skuad kebangsaan era 80-an itu merasakan, tindakan segera perlu diambil pengurusan Selangor bagi mengatasi permasalahan dialami pasukan, sekali gus meletakkan kembali skuad Gergasi Merah di landasan tepat, sebagai antara pasukan digeruni dengan pemain berkualiti.

"Boleh dikatakan dalam pasukan Selangor (dulu), ramai pemain tempatan yang baik dan ramai yang mewakili Malaysia, tetapi sekarang ini saya pun susah nak cakap," kata Khalid.

Sebagai rekod, Selangor memulakan kempen musim 2022 dengan keputusan seri 3-3 menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada 4 Mac, sebelum melakar kemenangan 6-0 ke atas wakil Liga M3, Harini FT pada aksi pusingan pertama Piala FA, Jumaat lalu. - Bernama

18th March, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved