TMJ Beri Bantuan Kepada Perak FC Untuk Selesaikan Tunggakan Gaji Pemain

Image of TMJ Beri Bantuan Kepada Perak FC Untuk Selesaikan Tunggakan Gaji Pemain
Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mendedahkan beliau ada memberi sedikit sumbangan kepada pengurusan Perak FC untuk menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai pasukan itu.

Media tempatan sebelum ini melaporkan pemain Perak sudah dua bulan tidak menerima gaji. Mereka turut dihimpit masalah tidak dibenarkan menandatangani pemain baharu ekoran hutang berjumlah RM1,773,532.50 yang belum diselesaikan.

TMJ berharap sumbangan yang diberikannya dapat membantu meringankan beban pasukan tersebut dan isu tunggakan gaji diselesaikan dengan segera.

“Baru-baru ini saya ada bantu Perak FC, tiga hari lepas pengurusan Perak FC ada datang berjumpa saya dan saya ada bagi sedikit sumbangan dan bantuan.

“Saya tak boleh cakap berapa (jumlah), tapi saya ada bagi sedikit bantuan untuk kurangkan beban Perak FC dan saya harap masalah itu (tunggakan gaji) boleh mereka selesaikan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media ketika melawat Stadium Nasional Bukit Jalil.

TMJ turut menjelaskan beliau sudah banyak membantu beberapa pasukan lain seperti Selangor, Kelantan dan Penang kerana isu tunggakan gaji sentiasa menjadi penyakit tiap musim dalam Liga Malaysia.

“Dalam karier saya terbabit dalam bola sepak di negara ini, sudah banyak pasukan saya tolong. Cuma saya tak bagi tahu media sahaja.

“Saya pernah tolong Selangor dua kali, saya pernah tolong Kelantan dua kali dan saya juga pernah tolong kalau tak silap saya Penang sekali serta Melaka.

“Isu gaji PFAM pun saya pernah tolong. Banyak yang orang tak tahu, sekarang semua orang tahu, kalau tak percaya boleh tanya tuan punya badan,” katanya.

21st March, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved