Banjir Bukan Alasan Nafuzi Zain Sudah Dapat Ilham XI Terengganu

Image of Banjir Bukan Alasan Nafuzi Zain Sudah Dapat Ilham XI Terengganu
Seperti yang diketahui, negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu sedang dilanda musibah banjir dan tentunya persiapan pasukan terjejas, namun Nafuzi Zain berkata beliau sudah ada bayangan skuad utamanya.

Mengakui persiapan pasukan sedikit terjejas, pengendali Terengganu FC itu berkata yang mereka tidak boleh berehat dan terus berlatih selagi boleh sebelum aksi pembukaan Liga Super 2022 berdepan Sri Pahang nanti.

Terengganu akan turun ke Stadium Darul Makmur pada Sabtu ini untuk berdepan jiran, Sri Pahang dalam situasi yang kurang baik. Begitupun, beliau sudah ada bayangan barisan pemain yang akan diturunkan berdepan Tok Gajah. Tentunya mereka mengharapkan langkah kanan dengan tiga mata penuh bagi membuka saingan.

“Memang keadaan di Terengganu sepanjang beberapa hari lalu hujan lebat tanpa henti serta berangin, jadi daripada segi persiapan kami memang terjejas berdasarkan apa yang sudah kami rancang.

“Kami tidak dapat mengadakan latihan seperti yang dirancangkan. Apapun, kami perlu meneruskannya [latihan] dan tidak boleh berehat. Apa sahaja aktiviti yang boleh kami lakukan, kami lakukan.” kata Nafuzi Zain.

Beliau turut berkata yang persiapan terakhir dalam sesi latihan amat penting untuk sesuatu perlawanan.

Ini kerana, terdapat beberapa lagi pemain yang belum beliau dapat uji kemampuan mereka. Walaupun sudah ada pilihan pemain untuk diturunkan nanti, namun segalanya masih boleh berubah dengan situasi Covid-19.

Bagi Nafuzi Zain, cabaran Sri Pahang tidak boleh dipandang rendah kerana mereka adalah skuad yang berbeza kali ini. Selain melantik jurulatih baharu menggantikan Dollah Salleh, mereka juga memiliki pemain-pemain tempatan dan import yang mampu memberikan cabaran buat Terengganu dalam perlawanan pertama nanti.

Selepas Sri Pahang, Terengganu akan melayan kunjungan pasukan promosi musim ini, Negeri Sembilan FC pada Rabu. Adakah Sang Penyu mampu meraih enam mata penuh dalam dua aksi awal Liga Super nanti? Jika mereka gagal dalam dua perlawanan itu, adakah musibah banjir boleh dijadikan alasan oleh Nafuzi Zain?

3rd March, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved