Perak FC Berdepan Risiko Disingkirkan Daripada Saingan Liga Malaysia 2022

Image of Perak FC Berdepan Risiko Disingkirkan Daripada Saingan Liga Malaysia 2022
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam mendedahkan pasukan Perak FC kini berdepan risiko disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia 2022 sekiranya gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pada 31 Mac (Hari ini). Menurut laporan daripada Sinar Harian, skuad The Bos Gaurus itu sebenarnya mempunyai dua isu yang perlu diselesaikan melibatkan tunggakan gaji pada musim 2021 dan juga musim 2022. “Sebenarnya ada dua isu yang sedang dihadapi oleh Perak FC ketika ini iaitu isu hutang tahun lalu (2021) dan isu tunggakan gaji musim 2022. “Bagaimanapun, isu gaji tidak dibayar selain tunggakan gaji bagi musim 2022 merupakan isu yang mendapat perhatian kita dan kita juga saling berhubung dengan Perak FC mengenainya. “Oleh itu, kegagalan Perak FC menyelesaikan isu bayaran termasuk tunggakan gaji berkenaan bakal menyaksikan kelab ini tersingkir daripada saingan Liga-M,” katanya kepada Sukan Sinar. Media tempatan sebelum ini melaporkan pemain Perak sudah dua bulan tidak menerima gaji. Mereka turut dihimpit masalah tidak dibenarkan menandatangani pemain baharu ekoran hutang berjumlah RM1,773,532.50 yang belum diselesaikan. Malah, isu ini turut mendapat perhatian daripada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang membantu mencari jalan penyelesaian. “Selain isu tunggakan gaji musim 2022, Perak FC juga berdepan isu gaji tahun lalu yang tidak dibayar.mMalah, ia telah pun dibawa kepada pengetahuan PFAM dan ia telah pun mencapai penyelesaian perjanjian (settlement agreement), bersama pemain serta pegawai terlibat. “Isu ini juga boleh menyebabkan Perak FC akan ditolak tiga mata sebagai hukuman pertama yang dikenakan dalam masa beberapa hari ini,” jelas Stuart.

31st March, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved