Selangor FC Terima Tajaan TDC Melebihi RM 3 juta

Image of Selangor FC Terima Tajaan TDC Melebihi RM 3 juta
KUALA LUMPUR – Selangor FC menerima suntikan penajaan RM3.5 juta daripada syarikat berasaskan produk makanan dan minuman kesihatan, TDC Holdings (TDC) untuk musim baharu Liga Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, TDC akan menjadi salah satu penaja utama skuad Gergasi Merah pada musim ini setelah menerima penajaan dari TDC semenjak musim 2021.

“Kami berbesar hati menerima TDC sebagai penaja dengan jumlah tajaan RM3 juta untuk musim ini selain RM500,000 lagi dalam bentuk barangan.

“Penajaan tersebut merupakan satu penghargaan kepada kelab bola sepak tempatan di mana selepas menaja Selangor FC, TDC juga telah menjalin penajaan bersama sebuah lagi kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia.

“Ini menunjukkan keyakinan syarikat korporat di Malaysia untuk menaja pasukan bola sepak sebagai platform pemasaran untuk produk mereka,” ujarnya menerusi kenyataan yang disiarkan Selangorfc.com.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings, Mohd. Hafizuddin Hiew Abdullah pula berkata, penajaan kepada Selangor FC pada musim lepas telah memberi peluang kepada TDC melebarkan jenama syarikat TDC dan juga produk-produk keluaran syarikatnya kepada pasaran penyokong bolasepak tanahair.

“Status SFC sebagai antara pasukan yang mempunyai sejarah dan kejayaan dalam kancah bolasepak tempatan disamping pengikut yang ramai membuatkan beliau terus mengekalkan penajaan bersama Selangor FC,” jelasnya.

Penajaan ini akan meliputi penjenamaan TDC di jersi latihan pasukan Selangor dan penjenamaan produk Alithera, salah satu produk TDC yang akan bakal dilancarkan.

Selain dari itu, penjenamaan TDC di stadium, media sosial dan platform Selangor FC juga akan dipaparkan.

3rd March, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved