Jangan susahkan lagi Liga M

Image of Jangan susahkan lagi Liga M
PETALING JAYA: Sudahlah Liga Malaysia (Liga M) bergelut de­ngan Covid-19 yang menyebabkan beberapa perlawanan awal musim terpaksa ditunda, kekecohan yang dicetuskan penyokong selepas tamat aksi Liga Super di antara Kuala Lumpur City (KL City) dan Se­langor, Jumaat lalu memburukkan lagi keadaan.

Lebih mengecewakan, ia ­insiden kedua dalam tempoh kurang seminggu dan sebelum ini pergaduhan turut tercetus selepas tamat perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri 26 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, biarpun liga sudah memasuki era profesional, namun segelintir penyokong tempatan masih di tahap amatur. Selangor dalam satu kenya­taan rasmi pula menyelar keganasan dalam bola sepak kerana ia telah mengancam keamanan serta keselamatan penyokong lain yang mahu menikmati perlawanan.

“Pertama, saya mewakili MFL ingin merakamkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa insiden pergaduhan selepas aksi Kuala Lumpur City dan Selangor.

“Saya difahamkan ada yang mengalami kecederaan akibat terkena mercun dan lain-lain, ini perbuatan yang tidak bermoral.

“Stadium sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk beriadah, bersantai dan menikmati sukan bola sepak, bukannya menjadi satu pusat pergaduhan sesama sendiri.

“Kita tidak mahu disebabkan perbuatan kelompok kecil ini, golongan lain menanggung akibat sekali gus menyukarkan usaha semua dalam industri bola sepak untuk mendapatkan kelonggaran khusus daripada kerajaan.

“Jadi MFL mengutuk sekeras-kerasnya tindakan samseng bola sepak ini,” katanya.

Kata Stuart, beliau telah mengadakan perbincangan de­ngan Ketua Pegawai Eksekutif ke­dua-dua pasukan, Stanley Bernard (KL City) dan Dr. Johan Kamal Hamidon (Selangor) berhubung insiden itu.

Tindakan lanjut akan diambil selepas menerima laporan penuh.

Aksi dua musuh berjiran itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling mengejar, sebelum KL City dan Sela­ngor seri 3-3.

Dalam perkembangan ber­kaitan, perlawanan Selangor menentang Sri Pahang yang dijadual berlangsung esok ditunda kerana kem Tok Gajah dilanda Covid-19.

7th March, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved