Borneo Derby Dijangka Sengit

Image of Borneo Derby Dijangka Sengit
Kuala Lumpur: Pengendali Sarawak United, B Sathianathan menganggap Sabah FC mempunyai segala kelebihan berbanding anak buahnya menjelang pertembungan 'Borneo Derby' di Stadium Negeri, malam ini.

Namun Sathianathan menegaskan bukanlah mustahil untuk skuad bimbingannya mengejutkan anak buah Datuk Ong Kim Swee, lebih-lebih lagi dalam usaha mereka cuba melakar kemenangan pertama di Liga Super.

"Sabah ada kualiti pemain punyai pengalaman bermain di peringkat kebangsaan malah mereka sedang lalui prestasi terbaik dalam dua perlawanan lalu.

"Malah dengan kehadiran pemain seperti Amri Yahyah serta sebahagian besar pemain yang pernah bekerja dengan Datuk Ong Kim Swee, saya memang nampak Sabah ada kualiti tersendiri di Liga Super.

"Banding dengan Sarawak, kami baru kembali ke Liga Super pada musim ini malah sebahagian besar pemain kami hanya ada pengalaman di Liga Perdana.

"Bagaimanapun, berbekalkan semangat serta kerja keras dari pemain ,saya rasa kami boleh mengejutkan sesiapa sahaja termasuk Sabah jika berada di hari terbaik," katanya.

Jelas Sathianathan, beliau tetap berpuas hati dengan komitmen barisan pemainnya selepas tiga perlawanan meskipun masih gagal mencatat kemenangan.

Sarawak tewas dalam dua perlawanan awal sebelum berjaya meraih mata pertama pada perlawanan ketiga Liga Super apabila bangkit untuk mengikat Penang FC 1-1.

"Sarawak akan fokus dari satu ke satu perlawanan dan seperti mana saya katakan di awal musim, sasaran utama kami mahu kekal di Liga Super," kata Sathianathan.

10th April, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved