Sri Pahang Mahu FAM Hukum Pengadil

Image of Sri Pahang Mahu FAM Hukum Pengadil
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memenuhi janji untuk mengenakan tindakan tegas kepada pengadil yang melakukan kesilapan ketika mengadili perlawanan antara Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Rabu lalu selepas pengurusan Sri Pahang turut menuntut tindakan sedemikian.

Ini kerana, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang Football Club, Datuk Mohamed Suffian Awang berkata, kecuaian pengadil berkenaan memberi impak sangat besar kepada Sri Pahang yang tewas 0-1 pada perlawanan itu.

"Sri Pahang FC dengan ini ingin merekodkan secara rasmi ketidakpuasan hati terhadap mutu pengadilan serta keputusan pengadil dan pembantu pengadil sewaktu perlawanan Liga Super 2022 di antara Kedah FC dan Sri Pahang FC pada 6 April 2022 di Stadium Darul Aman, Kedah.

"Kelemahan ini telah mengakibatkan impak besar kepada Sri Pahang FC terutama dari segi motivasi pemain dan pegawai pasukan. Sri Pahang FC dengan ini memohon agar kelemahan seperti ini dapat diatasi di masa akan datang dan pengadil berkenaan dikenakan tindakan tegas dan penggantungan tugasan," katanya menerusi sepucuk surat kepada Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Jelas Mohamed Suffian, berdasarkan kepada kenyataan FAM, jelas terdapat kesalahan dilakukan pengadil dalam membuat beberapa keputusan dan pihaknya menggariskan tiga kesalahan berkenaan.

Pertama gol tandukan dijaringkan Johan Cedric Francois Martial pada minit ke-80 dan kedua, peluang menjaringkan gol David William Rowley pada minit ke-62, namun diberikan keputusan ofsaid.

Ketiga, jaringan Nurizzat Che Awang dinafikan pada masa kecederaan.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman menerusi satu kenyataan berkata, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video, dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai perlawanan.

Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai itu.

10th April, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved