JDT Tumbangkan Juara Dua Kali Ulsan Hyundai

Image of JDT Tumbangkan Juara Dua Kali Ulsan Hyundai
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mencipta kejutan dalam perlawanan kedua Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila menumbangkan juara dua kali dan naib juara Liga Korea Selatan (K-League), Ulsan Hyundai, 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Gol daripada Fernando Forestieri dan Bergson da Silva dalam babak berbeza memberikan Harimau Selatan kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Guangzhou FC, 5-0 Jumaat lalu.

Pasukan bimbingan Benjamin Mora itu berada di depan seawal minit keempat apabila Forestieri melepaskan rembatan jarak jauh gemilang susulan menerima hantaran Corbin Ong.

Menariknya, tiada sebarang petanda untuk wakil negara itu bermain secara bertahan, sebaliknya terus menguasai permainan dan berhasil melakukan beberapa percubaan, antaranya menerusi rembatan jarak jauh Nazmi Faiz Mansor dan lambungan tinggi Bergson.

Ulsan memperkemaskan aksi dalam babak kedua dan berupaya menyamakan kedudukan selepas Um Wong-sang melepaskan sepakan leret untuk menewaskan penjaga gol JDT, Haziq Nadzli, pada minit ke-52.

Bagaimanapun, JDT membuktikan betapa mereka sudah bersedia untuk bersaing di pentas tertinggi Asia apabila penyerang utama, Bergson -- yang menerima lorongan Safawi Rasid selepas Matthew Davies merampas bola daripada pemain lawan -- melepaskan rembatan kaki kiri lencong yang menerjah jaring lawan pada minit ke-80 untuk memastikan kemenangan pasukannya.

Dengan kemenangan itu, JDT kekal menerajui Kumpulan I dengan enam mata, dua mata mendahului gergasi Jepun, Kawasaki Frontale, manakala Ulsan pula berada di tangga ketiga dengan satu mata.

20th April, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved