TFC Jadikan Sarawak Mangsa Pertama

Image of TFC Jadikan Sarawak Mangsa Pertama
KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) menikmati kemenangan pertama musim ini apabila menundukkan naib juara Liga Perdana, Sarawak United 2-0 di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Anak buah Nafuzi Zain itu bagaimanapun dipaksa beraksi dengan 10 pemain hampir sejam selepas penyerang utama, Kpah Sherman dilayangkan kad merah pada minit ke-33.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Penyu keluar daripada zon penyingkiran, menolak Sarawak ke tangga tercorot Liga Super tanpa sebarang kemenangan selepas lima perlawanan.

TFC hanya memerlukan lapan minit untuk membuka jaringan selepas hantaran cantik Petrus Shitembi 'melintasi' empat pertahanan tuan rumah dan dikawal dengan baik oleh Sherman.

Sherman kemudiannya melarikan bola ke arah gol Sarawak dan melakukan tolakan mudah yang menewaskan Sharbinee Alawee untuk gol kedua peribadinya pada musim ini.

Tuan rumah jelas bergelut apabila rangkaian serangan mereka belum mampu menguji gawang TFC sepanjang 30 minit pertama ketika lawan mula selesa menguasai bahagian tengah dan merencana serangan.

Keselesaan itu 'lenyap' pada minit ke-33 apabila Sherman dilayangkan kad merah susulan tindakannya mengangkat kaki terlampau tinggi ketika berebut bola dengan Gonzalo Soto.

Berkelebihan seorang pemain, Sarawak menggunakan kesempatan untuk menekan TFC namun beberapa gerakan serta situasi bola mati diperoleh tidak membuahkan hasil.

Sebaliknya, TFC nyaris mengetuk pintu gol Sarawak menerusi percubaan Faisal Halim pada minit ke-49 yang memaksa Sharbinee merebahkan badan untuk menyelamatkan bola terbabit.

Zuasyraf Zulkiefle akhirnya melegakan TFC yang tertekan dengan asakan bertali arus Sarawak apabila pemain gantian itu menyumbat gol kedua pelawat di hujung permainan.

20th April, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved