Kawasaki Frontale Ingin Malukan JDT

Image of Kawasaki Frontale Ingin Malukan JDT
Iskandar Puteri: Sudah ada keazaman menggunung yang diidamkan kelab gergasi Jepun, Kawasaki Frontale yang mahu memalukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di hadapan penyokong pasukan itu apabila sekali lagi bertemu dalam Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Pengendali Kawasaki Frontale, Toru Oniki menegaskan kemenangan ke atas JDT amat penting bagi membuka laluan buat pasukannya untuk merampas kedudukan pendahulu Kumpulan I seterusnya menewaskan Ulsan Hyundai untuk mara ke pusingan seterusnya.

Katanya, Kawasaki Frontale memilik status selaku pasukan yang berada di ranking pertama kelab Asia harus memiliki kualiti terbaik dan perlu bangkit untuk menidakkan usaha kelab dari Asia Tenggara untuk mengecewakan mereka.

"Selepas tamat perlawanan tempoh hari, pemain berasa sangat kecewa apabila gagal membawa pulang tiga mata setelah seri tanpa jaringan.

"Saya akan pastikan keadaan ini tidak berulang, kami perlu menang perlawanan esok dan sudah bersedia sepenuhnya bagi memastikan kemenangan berada dalam genggaman kami.

"Berada di tempat kedua dalam kumpulan tidak cukup buat kami untuk layak ke pusingan seterusnya. Jadi, kami wajib menang apabila berdepan JDT dan Ulsan Hyundai seterusnya," katanya.

Pada perlawanan Khamis lalu, juara Liga 1 Jepun (J1 League) itu gagal merekodkan sebarang percubaan tepat ke pintu gol lawan, situasi yang tidak pernah berlaku sejak 2017 hingga memaksa pasukan berkongsi satu mata dengan JDT.

Oniki berkata, menjelang pertemuan ini, jentera serangan Kawasaki Frontale sudah bersedia untuk beraksi dengan lebih garang dengan menghasilkan lebih banyak percubaan ke arah gol lawan.

"Antara masalah yang kita lalui pada pertemuan sebelum ini ialah ketajaman di hadapan gawang lawan. Hal ini tidak boleh berulang kerana kita sangat perlukan kemenangan ini," kata Oniki.

Sementara itu, pemain tengah pasukan itu, Yasuto Wakizaka berkata, rakan sepasukan tidak boleh leka apabila turun menentang juara AFC musim 2015 itu dan berusaha bermati-matian bagi mengutip tiga mata.

"Sesiapa pun yang akan diturunkan perlu memikul tanggungjawab penting bagi memastikan pasukan berjaya membawa pulang tiga mata," katanya.

Jadual Perlawanan

Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL)



Ahad, 24 April 2022

Guangzhou FC lwn Ulsan Hyundai FC

Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin

5 petang

Johor Darul Ta'zim (JDT) lwn Kawasaki Frontale

Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

10 malam.

24th April, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved