Kedah Waspada Kebangkitan Sabah

Image of Kedah Waspada Kebangkitan Sabah
Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap berwaspada dalam usaha meneruskan rentak kemenangannya apabila berdepan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas malam esok.

Kedudukan di tangga kedua Liga Super setakat ini sudah pasti satu kedudukan yang perlu dipertahankan Kedah bagi memastikan saingan Sang Kenari berada dalam kelompok pasukan teratas liga.

Pengendalinya Aidil Sharin Sahak berkata skuadnya sedar akan tentangan sengit yang bakal ditempuhi skuadnya apabila berdepan skuad Sabah FC yang pastinya mahu bangkit selepas dikecewakan Kuala Lumpur FC pada perlawanan lalu.

"Misi kali ini tetap sukar di mana Sabah FC sudah pasti mahu bangkit dari kekecewaan selepas tewas kepada KL City pada perlawanan lalu sekali gus memberi cabaran yang kami jangkakan sengit pada perlawanan kali ini.

"Selain itu skuad Sabah FC juga memiliki ramai pemain berpengalaman termasuk ketua pasukannya Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang pastinya kami tidak akan diberi laluan mudah sepanjang tempoh perlawanan.

"Ini sudah pasti memberi cabaran yang cukup sengit buat kami di tempat lawan selepas beraksi menentang Penang FC minggu lalu di mana kami juga tidak diberi laluan mudah sepanjang tempoh perlawanan," katanya.

Aidil juga berkata, di sebalik cabaran yang bakal dihadapi, beliau mahu semua pemain terus fokus dan menjalinkan kombinasi dengan sebaik mungkin bagi memastikan momentum kemenangan yang perolehi sebelum ini dapat dikekalkan.

"Pengalaman berdepan Sabah FC ketika aksi persahabatan di Stadium Likas pada kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (PSMJ) Februari lalu menjadi sedikit panduan buat pemain dan diharapkan pengalaman ini dapat membantu mereka meningkatkan lagi tahap keyakinan diri ketika beraksi.

"Namun pada masa yang sama kami perlu mengelak sebarang kelekaan dan kelalaian di setiap posisi yang boleh merugikan peluang pasukan dalam memburu tiga mata kali ini," katanya.

24th April, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved