Sri Pahang Catat Kemenangan Pertama

Image of Sri Pahang Catat Kemenangan Pertama
KUANTAN: Sri Pahang FC akhirnya mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan Penang FC 3-1 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kemenangan itu dapat disaksikan dengan komitmen dan semangat pemain Sri Pahang pada awal perlawanan walaupun terikat 1-1 pada separuh masa pertama.

Pada perlawanan itu, tuan rumah bermula garang dengan melancarkan serangan awal untuk memberi tekanan kepada lawan.

Usaha bertali arus hampir membolosi gawang Penang FC seawal minit keempat tetapi bola rembatan Menuel Hidalgo ditepis penjaga gol lawan, Khatul Anuar Md Jalil.

Bagi Penang pula, peluang terbaik diperolehi menerusi pemain tengah, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali yang melakukan percubaan tepat terus kepada penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa pada minit ke-27.

Selang seminit, jaringan pendahuluan yang dinantikan skuad Tok Gajah akhirnya disempurnakan pemain tengah, Nor Azam Azih apabila rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Khatul Anuar.

Sebelum tamat separuh masa pertama, pemain pertahanan, Ahmad Sukri Ab Hamid berjaya menjaringkan gol penyamaan 1-1.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang menggandakan asakan ke kubu lawan dalam usaha mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super.

Pada minit ke-64, tandukan pemain tengah, David Rowley memastikan Sri Pahang kembali mendahului Penang 2-1.

Belum sempat lawan mengatur gerakan berbahaya, pemain gantian, Sean Giannelli menjaringkan gol ketiga pada minit ke-73.

Biarpun Penang sedaya upaya untuk menambah jaringan, kekentalan jentera pertahanan tuan rumah menyebabkan lawan pulang tanpa sebarang mata.

24th April, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved