Gol Taesu Hukum Melaka United

Image of Gol Taesu Hukum Melaka United
MELAKA: Hajat Melaka United untuk mengutip tiga mata tidak kesampaian apabila tunduk 0-1 kepada Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Gol tunggal pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu pada minit ke-25 sudah cukup buat Sabah mengutip kemenangan kedua, manakala tuan rumah terus kempunan mencari tiga mata berharga.

Skuad Sang Kancil kekal di tangga kesembilan Liga Super dengan mengutip satu mata, manakala Sabah yang diterajui bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berada di tangga ketiga mengutip enam mata di belakang Kedah dan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kekalahan kedua Melaka menjelaskan pasukan itu terus terumbang-ambing mencari rentak permainan selepas mempamerkan aksi tidak bertenaga berdepan skuad Sang Badak.

Permainan berhati-hati oleh kedua-dua pasukan menghiasi aksi awal babak pertama.

Sepuluh minit permainan berlangsung tiada serangan mencemaskan dipaparkan sepanjang tempoh itu.

Melaka yang turun tanpa dua penyerang import, Ifedayo Olusegun dan Adriano Narcizo akibat kecederaan harmstring tampak kurang bertenaga di bahagian serangan.

Kesilapan penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali melontarkan bola ke arah pemain lawan membawa padah.

Bola itu berjaya dirampas pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu untuk mudah menggelecek pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan menggegar jaring Melaka pada minit ke-25.

Gol awal itu menyemarakkan anak didik Kim Swee yang terus mengasak bertali arus ke pintu gol tuan rumah.

Empat minit sebelum rehat Taesu sekali lagi mencemaskan pintu gol Melaka apabila sepakannya ditampan keluar.

Tuan rumah terus tertekan mencari gol penyamaan dengan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi pertaruhan gagal menyerlah.

Pada minit ke-60, tuan rumah nyaris memperolehi gol penyamaan tetapi hampa apabila sepakan percuma pemain lincah Sony Norde ditepis penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.

6th April, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved