JDT Berdepan Cabaran Getir Sepanjang Ramadan

Image of JDT Berdepan Cabaran Getir Sepanjang Ramadan
KUALA LUMPUR: Juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan ujian getir sepanjang Ramadan tahun ini.

Ia susulan skuad Harimau Selatan akan menempuh lapan perlawanan dalam dua pertandingan iaitu Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Menurut kenyataan kelab itu menerusi akaun Facebook rasmi mereka, selain jadual yang padat, faktor bulan Ramadan juga bakal menjadi ujian buat JDT dalam usaha meneruskan rentak cemerlang dalam Liga Super selain akan menjadi tuan rumah pertandingan ACL.

"JDT dijadualkan bertemu Kuala Lumpur City FC di tempat lawan pada 6 April, sebelum melayan kunjungan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 April untuk saingan Liga Super.

"Selepas itu, JDT akan berentap dengan pasukan gergasi Asia dari Jepun, Korea Selatan dan China dalam kejohanan ACL dengan semua enam perlawanan Kumpulan I akan berlangsung di Johor dari 15 hingga 30 April," kata kenyataan kelab itu.

JDT diundi dalam Kumpulan I bersama kelab Jepun, Kawasaki Frontale, Guangzhou FC (China) dan Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dengan aksi kumpulan akan berlangsung dua pusingan.

Skuad kendalian Benjamin Mora itu akan memulakan kempen ACL mereka berdepan Guangzhou pada 15 April ini di Stadium Sultan Ibrahim.

6th April, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved