Peluang KL City Balas Dendam Ke Atas JDT

Image of Peluang KL City Balas Dendam Ke Atas JDT
KUALA LUMPUR: Tiga lagi aksi Liga Super akan berlangsung malam ini dengan pertembungan antara Kuala Lumpur City (KL City) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras paling mencuri tumpuan.

Ia boleh dianggap sebagai aksi membalas dendam anak buah Bojan Hodak ke atas JDT yang menewaskan mereka 3-0 dalam perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, 26 Februari lalu.

Bagaimanapun, muncul juga persoalan adakah skuad City Boys mampu untuk melunas dendam mereka dengan mengambil kira kekuatan lebih mantap dimiliki skuad Harimau Selatan musim ini.

Jika melihat kepada rekod musim lalu, ia tidak mustahil kerana KL City pernah mencipta kejutan besar apabila menewaskan anak buah Benjamin Mora 2-0 di final Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun, sekiranya dibandingkan prestasi KL City dan skuad 'baharu' JDT dalam dua aksi awal musim ini, tampak sukar untuk City Boys mengulangi kejayaan manis itu.

Cabaran besar yang dihadapi Mora ketika ini adalah untuk mengatur skuad terbaik bagi mengekalkan prestasi konsisten buat JDT selepas skuad itu berdepan jadual padat sepanjang Ramadan apabila turut akan bersaing di Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Sementara itu, malam ini juga akan menyaksikan dua wakil Pantai Timur, Sri Pahang FC dan Terengganu FC (TFC) akhirnya akan membuat penampilan sulung dalam saingan Liga Super 2022 selepas lebih sebulan menunggu.

Sri Pahang akan mengharungi tugas sukar apabila berdepan naib juara musim lalu, Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, sementara TFC pula bertandang ke gelanggang PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ia adalah aksi sulung skuad Tok Gajah dan Penyu bagi Liga Super musim ini selepas perlawanan mereka sebelum ini terpaksa ditunda akibat COVID-19.

Menentang Kedah di gelanggang keramat Sang Kenari boleh dianggap sebagai tugas getir buat Sri Pahang yang sebelum ini tampak bergelut untuk mengatasi pasukan Liga M3, Manjung City dalam pusingan pertama Piala FA.

Atas kertas, segalanya boleh dikatakan memihak Kedah yang merekodkan kemenangan bersih dalam dua perlawanan awal dan menghuni tangga kedua liga, berkongsi enam mata dengan juara bertahan lapan kali berturut-turut, JDT.

Namun, harus diingat kekuatan Sri Pahang sebenarnya masih belum teruji di Liga Super musim ini dan aksi mereka ketika berdepan Manjung City tidak boleh dijadikan ukuran untuk Kedah memandang mudah kemampuan Tok Gajah.

Bagi TFC pula, mereka dijangka tidak berdepan masalah untuk mengecapi kemenangan pertama jika melihat kepada perbandingan senarai pemain skuad Penyu dengan PJ City yang tidak memiliki sentuhan pemain import.

Kemampuan PJ City juga harus diberi perhatian dengan skuad kendali P Maniam itu memiliki rekod baik di gelanggang sendiri apabila menundukkan Melaka United FC 1-0 pada aksi pertama, 5 Mac lalu.

6th March, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved