Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Liga Malaysia

Image of Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Liga Malaysia
KELAB Liga Malaysia (Liga-M) menganggap prosedur operasi standard (SOP) baharu perlawanan Liga-M, di mana tiada lagi penundaan perlawanan melibatkan pasukan yang terkena jangkitan Covid-19 adalah tepat bagi mengelakkan mereka berdepan jadual padat.

Pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan menyifatkan skuad Rusa amat menitikberatkan langkah berjaga-jaga ketika ini memandangkan skuad Hoben Jang Hoben pernah dijangkiti hampir satu pasukan sehingga terpaksa memohon penundaan perlawanan.

Justeru, dengan SOP baharu ini akan dapat memastikan pasukan sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan apabila dibenarkan untuk mendaftarkan para pemain dari pasukan reserve team, Piala Presiden atau Piala Belia ke senarai pilihan skuad utama sekiranya ada pemain yang dijangkiti Covid-19.

“Kita sebelum ni pun pernah hampir satu pasukan positif Covid-19, jadi kalau boleh kita tidak mahu benda sama berulang lagi.

“Apa sahaja yang telah diputuskan oleh MFL, kami akan ikut sahaja asalkan ianya yang terbaik untuk pasukan dan kami pun ada ramai pemain-pemain dalam skuad utama.

“Memang kita ada pemain dari pasukan Piala Presiden dan Piala Belia, tetapi kalau boleh kita tidak mahu ketandusan pemain sendiri untuk beraksi,” jelasnya.

Sementara itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pula percaya jadual Liga-M pada musim ini akan bertambah baik tanpa penundaan perlawanan memandangkan semua pasukan juga mempunyai ramai pemain Piala Presiden, Piala Belia dan juga reserve team untuk digunakan sekiranya berlaku apa-apa.

“Sememangnya perkara ini harus dilakukan memandangkan kalau kita tengok liga-liga di luar negara juga telah menggunakan sistem seperti ini.

“Dan dengan adanya peraturan baharu ini ditambah dengan semua pasukan ada ramai pemain di peringkat Piala Presiden, Piala Belia dan reserve team, saya tidak nampak akan timbul masalah jadual padat.

“Dan ini juga akan membantu skuad kebangsaan di mana perancangan mereka juga tidak akan terjejas sekiranya jadual liga berjalan lancar”, katanya.

Dalam pada itu, pengendali Kelantan United FC, Syamsul Saad menganggap dengan adanya SOP baharu ini menyaksikan saingan Piala FA pastinya akan berjalan seperti yang dirancang tanpa perlu berdepan kemungkinan untuk dibatalkan.

“Apabila kita tahu mengenai SOP baharu ini, perkara yang kami fikir adalah saingan Piala FA pasti akan diteruskan seperti biasa.

“Ia sangat penting untuk kita rebut piala ini sebab kalau boleh kita tidak mahu sekadar merebut trofi liga dan Piala Malaysia sahaja.

“Jadi saya rasa langkah ini sangat bertepatan dengan situasi yang melanda sekarang dan pasukan juga akan lebih serius untuk menjaga SOP selepas ini”, jelasnya.

6th April, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved