Selangor Hanya Pencabar di atas Kertas

Image of Selangor Hanya Pencabar di atas Kertas
DILABEL sebagai antara pencabar kejuaraan Liga Super musim ini, Selangor FC dilihat belum lagi bangkit daripada 'lena' seandainya keputusan dalam dua perlawanan pertama menjadi ukuran.

Dengan status sebagai antara pasukan paling gah dalam kancah bola sepak tempatan, anak buah Michael Feichtenbeiner seharusnya tidak berdepan masalah untuk mengutip mata penuh ataupun sekurang-kurangnya meraih kemenangan pertama terlebih dahulu.

Namun, sebaliknya yang terjadi apabila mereka seri 3-3 berdepan KL City FC sebelum terikat 2-2 dengan juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC (NSFC) kelmarin meskipun mendahului perlawanan 2-0 dengan 10 pemain.

Perkembangan itu sekali gus mendatangkan tanda tanya kepada kemampuan 'Red Giants' untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

Baru dua perlawanan diharungi namun mereka sudahpun ketinggalan beberapa 'tiang' di belakang pencabar 'sebenar' seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) yang cemerlang dalam dua aksi pertama setakat ini.

Kelebihan buat SFC hanyalah mereka kurang satu perlawanan berbanding JDT dan KDA dan apa yang positif - mereka belum kalah dan setidak-tidaknya mengutip mata daripada pulang tangan kosong.

Lebih membimbangkan apabila melihat kepada statistik yang dilakar pasukan itu selepas lebih 180 minit perlawanan - rekod yang seimbang dengan lima gol dan lima bolos.

Rekod ini hanya seimbang pada nombor namun secara harfiah, ini menunjukkan jurang yang besar daripada segi pertahanan dan serangan.

Ketika barisan serangan berjaya meledak lima gol namun benteng pertahanan pula membuat 'rumah terbuka' apabila melepaskan lima gol - ini antara penyebab utama mereka terus kemarau dalam dua perlawanan.

Namun, penyokong juga tidak seharusnya cepat 'wow' dengan lima gol yang dijaringkan dan pencapaian Caion yang meledak tiga gol setakat ini kerana realitinya tidaklah seindah yang disangka.

Daripada lima gol yang disumbat SFC musim ini dan tiga dijaringkan oleh Caion, semuanya menerusi sepakan penalti dan satu gol sendiri ketika berdepan NSFC.

Satu lagi gol yang disumbangkan Hyuri Henrique ketika berdepan KL City FC, itupun berpunca daripada sepakan percuma - ini bermakna tiada gol daripada permainan terbuka dihasilkan oleh mereka pada musim ini.

Jelas ini sedikit sebanyak memberi petanda jentera serangan mereka belum cukup mantap sekalipun dibarisi tiga pemain import baharu untuk memperkasa bahagian terbabit.

Mungkin mereka berjanji akan bangkit pada perlawanan selepas ini namun menanti mereka pada aksi keempat adalah KDA - ini adalah aksi yang jauh lebih sukar berbanding dua aksi pertama mereka sebelum ini.

Jadi, adakah SFC hanya akan mula menekan butang panik selepas kempunan kemenangan dalam tiga perlawanan liga berturut-turut?

Penyokong pun, mampukah mereka terus bersabar menunggu untuk proses kebangkitan semula pasukan yang sudah dicanang sejak beberapa musim sebelum ini?

Rekod dua perlawanan pertama SFC untuk tujuh musim sebelum ini

2022

KL City 3-3 Selangor

NSFC 2-2 Selangor

2021

Selangor 3-1 Pahang

TFC 3-1 Selangor

2020

Pahang 1-2 Selangor

Selangor 1-1 Perak

2019

Selangor 1-1 FELDA United

PJ City 1-1 Selangor

2018

KL 0-2 Selangor

Selangor 4-1 Melaka

2017

Selangor 2-0 Pulau Pinang

Selangor 1-1 Melaka

2016

JDT 1-1 Selangor

Perak 0-1 Selangor

8th April, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved