Forestieri Lebur Rekod Negeri Sembilan FC

Image of Forestieri Lebur Rekod Negeri Sembilan FC
Seremban: Impian Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk menafikan kehebatan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Jaringan Fernando Martin Forestiere pada masa tambahan meletakkan skuad JDT kembali ke takhta liga dengan mengumpul 15 mata.

Terdahulu, kedua-dua pasukan bermula dengan tempoh permainan tinggi dengan saling melakukan serangan ke kubu lawan masing-masing bagi mendapatkan gol awal.

Skuad bimbingan Benjamin Mora dilihat lebih banyak mendominasi perlawanan pada sebahagian masa pertama dengan beberapa percubaan bahaya terutama melalui Arif Aiman, Mohd Afiq Fazail dan Bergson Da Silva.

Sekurang-kurangnya enam percubaan ke arah pintu gol tuan rumah daripada ketiga-tiga pemain berkenaan tidak menepati sasaran selain dinafikan penjaga gol Negeri Sembilan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Komitmen dan kesungguhan tinggi dipamerkan anak buah K Devan terutama di bahagian benteng dalam mengekang setiap serangan JDT, membuatkan gawang skuad Hobin Jang Hobin kebal daripada dibolosi sekali gus mengikat kedudukan tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Malah, Negeri Sembilan turut berjaya mencipta beberapa peluang menjaringkan gol terutama menerusi Matheus Alves dan David Mawutor, namun tidak menepati sasaran.

Bersambung babak kedua perlawanan, skuad Harimau Selatan dilihat meningkatkan keupayaan serangan dalam misi mendapatkan gol.

Pada minit ke-65, Arif Aiman terlepas peluang apabila bola sepakannya gagal menewaskan Ahmad Syihan biarpun dia hanya berdepan dengan penjaga gol itu.

Begitupun, ketangkasan Ahmad Syihan menjadi antara faktor kekuatan Negeri Sembilan selepas dia berjaya menafikan deretan percubaan jentera serangan JDT.

Bagaimanapun, kekebalan Ahmad Syihan tidak bertahan lama apabila gawangnya bolos pada penghujung perlawanan menerusi jaringan cantik Fernando Forestieri pada minit akhir perlawanan untuk membantu JDT meraih tiga mata.

12th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved