Jaringan Saat Akhir JDT Kuburkan Harapan Negeri Sembilan

Image of Jaringan Saat Akhir JDT Kuburkan Harapan Negeri Sembilan
Perlawanan Liga Super (LS8) menemukan pendahulu liga, Negeri Sembilan FC selaku tuan rumah melayan kunjungan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT). Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan bergaya memihak JDT yang menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 1-0.

Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan terus mengatur serangan. Serangan JDT lebih terarah kepada bahagian sayap kanan di mana ada Arif Aiman di situ manakala Negeri Sembilan lebih banyak menunggu untuk melancarkan serangan balas.

Matheus Alves mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-17 namun rembatan beliau sedikit tinggi melepasi palang gol.

Kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan corak permainan seimbang

Pada minit ke-29, JDT hampir di depan melalui sepakan percuma Forestieri namun sepakannya sedikit sahaja tersasar di kanan gawang Negeri Sembilan.

Tiada gol berjaya dihasilkan dan separuh masa ditamatkan dengan kedudukan seri tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan berbalas-balas gerak serangan namun benteng pertahanan kedua-dua pasukan dilihat ampuh dalam mengekang segala asakan.

Duo serangan JDT iaitu Bergson dan Forestieri dilihat agak bergelut untuk menembusi trio pertahanan tengah Negeri Sembilan yang dibarisi Annas Rahmat, Nasrullah Haniff dan Khuzaimi Piee.

Arif Aiman hampir menjaringkan gol pada minit ke-65 yang berlari laju membawa bola masuk ke dalam kotak penalti dan merembat deras menggunakan kaki kiri. Namun rembatan beliau berjaya ditepis Syihan Hazmi.

Perlawanan kerap kali dihentikan selepas deretan kecederaan yang dialami pemain Negeri Sembilan yang sedikit sebanyak mengganggu tempo permainan.

10 minit masa tambahan diberikan pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin. Ketika perlawanan hampir tamat, Forestieri akhirnya menjaringkan gol menarik bertaraf dunia pada minit ke-100 perlawanan satu rembatan jarak jauh.

Perlawanan kkhirnya ditamatkan denagan kedudukan kemenangan 1-0 memihak JDT. Keputusan ini menandakan pasukan JDT merupakan satu-satunya pasukan yang masih belum tewas selepas menghadiahkan kekalahan pertama buat Negeri Sembilan.

12th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved