Sarawak United Jinak Tok Gajah di Kuantan

Image of Sarawak United Jinak Tok Gajah di Kuantan
KUANTAN: Sarawak United FC meraih mata penuh di Stadium Darul Makmur, di sini, malam tadi selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Sri Pahang FC 2-1 pada aksi Liga Super.

Pada aksi itu, Sri Pahang yang seharusnya menyalahkan diri sendiri selepas melepaskan empat peluang pada babak pertama. Ia bermula dengan peluang terbaik hadir menerusi pemain tengah, Manuel Hidalgo tetapi bola rembatannya terkena tiang di sebelah kiri pada minit ke-10.

Lima minit kemudian, pemain tengah, Baqiuddin Shamsudin turut memiliki peluang namun sepakannya melepasi palang gol. Penyerang muda tuan rumah, Muhammad Syaahir Saiful Nizam yang hanya berdepan penjaga gol Sarawak United, Tauffiq Ar Rasyid Johar turut gagal melakukan penyudah tepat pada minit ke-21.

Begitu juga tandukan David Rowley yang terkena palang menyebabkan Sri Pahang terlepas peluang untuk membolosi gawang lawan pada minit ke-35.

Pada minit ke-39, tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Muslim Ahmad dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Mohamad Kamil Zakaria Ismail gara-gara mengasari penyerang Sarawak United, Francis Kone.

Namun, kekurangan seorang pemain tidak menghalang skuad Tok Gajah akhirnya membolosi gawang lawan hasil sentuhan Hidalgo pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Sarawak United yang jarang melakukan serangan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan penyerang, Nur Shamie Iszjan Amin pada minit ke-54.

Pada minit ke-72, penyerang import import Sarawak United, Uche Agba mudah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mamadou Samassa untuk kedudukan 2-1.

Penalti itu diperolehi selepas pemain pertahanan, Ashar Al Aafiz Abdullah menjatuhkan Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra dalam kotak penalti. Jaringan kedua lawan itu memastikan tiga mata menjadi milik Sarawak United manakala Sri Pahang akur terlepas peluang menambah mata.

12th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved