Goulon Kini Muncul Pertahanan Paling Bisa Depan Gawang

Image of Goulon Kini Muncul Pertahanan Paling Bisa Depan Gawang
KUALA LUMPUR: Tiga penalti dan dua gol padang. Itu catatan yang dirakamkan pemain Negeri Sembilan FC (NSFC), Herold Goulon sekali gus muncul sebagai pertahanan paling berbisa di depan gol musim ini.

Pemain berusia 33 tahun itu adalah pertahanan paling banyak menjaringkan gol dalam Liga Super setakat ini dengan lima gol sekali gus terikat bersama Darren Lok yang turut menyumbat lima gol untuk PJ City FC.

Rekod itu turut membolehkan dia menduduki carta penjaring ketiga terbanyak selain sebagai pertahanan tunggal yang turut tersenarai dalam carta terbabit.

Carta penjaring terbanyak kini dikongsi bersama dua penggempur iaitu penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva dan penyerang Kedah Darul Aman FC, Ronald Ngah.

Namun kelebihan berpihak kepada Bergson memandangkan JDT baru beraksi lima perlawanan berbanding skuad Kenari yang sudahpun turun dalam semua lapan perlawanan.

Penyerang Selangor FC (SFC), Caion membuktikan betapa dia mampu menggantikan tempat Ifedayo Olusegun selepas berjaya meledak enam gol untuk menjadi penjaring kedua terbanyak Liga Super.

Seorang lagi penyerang JDT, Fernando Forestieri yang membuat debut dalam kempen Liga Super berjaya meledak empat gol.

Selepas minggu kelapan perlawanan, hanya tiga pemain berjaya meledak hatrik dalam Liga Super setakat ini iaitu Darren selain pemain berpengalaman Sabah FC, Amri Yahyah dan juga Ngah.

Darren mencetak hatrik pada babak pertama untuk mengejutkan Terengganu FC (TFC) yang ketika itu turun buat kali pertama dalam Liga Super musim ini.

Amri pula membantu skuad Badak merakam kemenangan 4-0 ke atas Sabah FC dan ketiga-tiga jaringan yang dihasilkan pada perlawanan itu memang berkualiti - rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti (m51), jaringan dari sudut sukar (m61) disusuli gol 'chip' (m72).

Hatrik terbaharu Liga Super dilakar Ngah ketika menentang PJ City FC, namun sayangnya hatrik terbabit tidak cukup untuk membantu Kedah meraih tiga mata apabila mereka terikat 3-3 dengan skuad Phoenix.

16th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved