Pemain Penang FC Jual Perlawanan?

Image of Pemain Penang FC Jual Perlawanan?
Kuala Lumpur: Benarkah beberapa pemain Penang FC menjual perlawanan menyebabkan pasukan itu mengalami kekalahan dan gagal meraih sebarang kemenangan selepas mengharungi tujuh aksi Liga Super?

Persoalan terbabit timbul apabila terdapat seorang pelayar media rasmi Instagram milik Penang FC bernama AirielShahezrie mendakwa prestasi merudum pasukan itu sejak kebelakangan ini ada kaitan dengan rasuah dalam kalangan pemain.

Malah, dia mendakwa mendapat maklumat berkenaan daripada sepupunya yang juga pemain bagi skuad Harimau Kumbang itu.

"Rasuah x abis2… Tunggu SPRM (Suruhanjaya Pengcegahan Rasuah Malaysia) Mai jea," katanya.

Sementara itu, melihat tuduhan dilemparkan itu agak berat, Penang FC menerusi kenyataannya di media sosial terus menjawab berkaitan perkara terbabit dengan meminta individu berkenaan hadir ke pejabat pasukan.

Pada masa sama, pengurusan pasukan juga meminta individu berkenaan ke ibu pejabat SPRM Pulau Pinang untuk merakamkan aduan seterusnya tampil menjadi saksi di mahkamah.

"Kita sentiasa mengalukan apa-apa kenyataan dakwaan berani dalam kalangan orang ramai untuk membanteras sebarang bentuk salah laku rasuah dalam kelab.

"Namun jika individu ini enggan bertanggungjawab atas kenyataan beliau, tindakan saman fitnah dimulakan ke atas individu berkenaan, di samping satu laporan polis dibuat bagi membolehkan penyiasatan fitnah jenayah dimulakan ke atas individu berkenaan.

"Dalam apa jua keadaan, orang ramai dinasihatkan tidak mudah membuat apa-apa tuduhan bersangkutan kes jenayah yang dilihat berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi kelab, pegawai dan pemain supaya tidak dikenakan apa-apa tindakan undang-undang yang boleh menimbulkan kesulitan ke atas individu berkenaan," katanya.

Untuk rekod, Penang FC ketika ini menghuni tangga tercorot Liga Super dengan mengutip tiga mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.

16th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved