Penangan Jurulatih Bidan Terjun

Image of Penangan Jurulatih Bidan Terjun
Kuala Lumpur: Siapa kata jurulatih 'bidan terjun' tak boleh meraih kejayaan untuk pasukan.

Hal ini terbukti apabila dua pengendali sementara pasukan masing-masing membabitkan Penang FC dan Melaka United iaitu Manzoor Azwira Abdul Wahid serta Mohd Asri Ninggal berjaya meraih kemenangan menumpaskan lawan masing-masing pada saingan Piala FA malam tadi.

Pada saingan piala FA malam semalam, Penang FC berjaya menumpaskan Perak FC 4-1 ketika bertandang ke Stadium Ipoh manakala Melaka United pula cemerlang menewaskan PJ City di Stadium Hang Jebat sekali gus layak ke pusingan suku akhir.

Berdasarkan kepada situasi semasa, Manzoor terpaksa mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara skuad Harimau Kumbang selepas ditinggalkan ketua jurulatih, Tomas Trucha pada 30 April lalu.

Manakala, Asri pula menggalas tugas terbabit selepas Pengendali dari Bosnia, Risto Vidakovic dipecat oleh pengurusan pasukan.

Manzoor berkata, walaupun pasukan berhadapan dengan dugaan termasuk masih gagal meraih kemenangan dalam saingan Liga Super namun mampu bangkit memperoleh tiga mata penting pada saingan Piala FA.

"Melihat kepada keadaan pasukan, kita masih lagi mampu mencipta kemenangan sekali gus memberi motivasi kepada pemain untuk memperoleh keputusan positif kelak.

"Kemenangan ini cukup penting untuk meningkatkan moral pemain terutama akan bertemu Sabah FC dalam saingan Liga Super.

Pada masa sama akan perbetulkan pasukan supaya lebih mantap," katanya.

Sementara itu, Asri berkata, barisan pemain yang mantap dengan masing-masing mempamerkan kesungguhan sekali gus mampu memastikan kemenangan berpihak kepada Melaka United.

"Pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka beraksi bermati-matian kerana PJ City bukanlah pasukan yang mudah untuk ditundukkan walaupun hanya dibarisi tonggak tempatan.

"Walaupun saya dilantik hanya sebagai pengendali sementara namun sudah bersama pasukan dalam tempoh yang lama sekali gus mengetahui mana posisi harus diperkuatkan.

"Selain itu, pemain yang ada dalam pasukan juga cukup bagus sekali gus mampu menurunkan kombinasi yang mantap dalam usaha meraih keputusan positif," katanya.

16th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved