Khuzaimi Fokus Cabaran Liga Super

Image of Khuzaimi Fokus Cabaran Liga Super
Seremban: Tonggak pertahanan Negeri Sembilan (NSFC), Ahmad Khuzaimi Piee menyifatkan pasukannya tidak bernasib baik untuk mara ke pusingan kedua saingan Piala FA musim ini, susulan kekalahan tipis 1-2, kepada Terengganu FC (TFC), Jumaat lalu.

Pemain kebangsaan itu berkata, walaupun dia dan rakan-rakan sudah bekerja keras mempamerkan persembahan terbaik dalam usaha mengenepikan cabaran tuan rumah, namun takdir menentukan cabaran Negeri Sembilan dalam saingan kalah mati musim ini berakhir.

"Kami sudah berusaha sedaya upaya dengan mempamerkan persembahan terbaik sepanjang 90 minit permainan seperti mana yang dirancang, namun takdir menentukan kami tiada rezeki untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Piala FA musim ini."

Beraksi di tempat lawan sememangnya kelebihan kepada tuan rumah, malah pertembungan itu bukan suatu yang mudah kerana Terengganu adalah sebuah pasukan yang mantap dan memiliki rekod cemerlang di tempat sendiri.

"Memang rasa terkilan kerana tidak dapat membantu pasukan mencapai kemenangan, tetapi kami akur dengan keputusan perlawanan sekali gus percubaan kami untuk melangkah ke pusingan kedua Piala FA kali ini, tidak tercapai," katanya di sini, hari ini.

Pemain berusia 28 tahun kelahiran Melaka itu berkata, dia dan rakan sepasukan akan memberikan tumpuan kepada saingan Liga Super, dalam usaha mempertahankan kedudukan terbaik pasukan dalam carta dan mengekalkan dalam liga utama itu pada penghujung saingan nanti.

Menurutnya, misi itu sudah ditetapkan pihak pengurusan pasukan sekali gus menuntut setiap pemain memperagakan aksi terbaik dalam setiap perlawanan liga, bagi memastikan impian berkenaan dapat direalisasikan.

Dia yang bergandingan dengan Nasrullah Hanif Johan (Annas Rahmat/Khair Jones) dan Herold Goulon di bahagian pertahanan, akui cabaran skuad Hobin Jang Hobin pada perlawanan akan datang amat mencabar kerana bakal berdepan dengan pesaing yang berwibawa dan bereputasi tinggi.

"Sebagai pendatang baharu dalam liga, kami perlu terus berkerja keras memantapkan persembahan dan memperkasakan lagi pasukan kerana cabaran selepas ini lebih sukar apabila bakal bertemu dengan pasukan seperti termasuk Johor Darul Ta[zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

"Kami akan cuba buat yang terbaik dalam setiap perlawanan liga untuk mengekalkan pasukan dalam kelompok terbaik sehingga ke penghujung saingan," katanya yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Melaka, tahun ini.

Difahamkan, skuad Negeri Sembilan diberikan cuti setakat hari raya pertama dan mereka diminta melaporkan diri bagi meneruskan sesi latihan pada hari raya kedua, sebagai persiapan menghadapi Sarawak United di tempat lawan, pada 6 Mei ini.

2nd May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved