JDT Bertuah Dapat Penalti Saat Akhir

Image of JDT Bertuah Dapat Penalti Saat Akhir
JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menganggap pasukannya bertuah dihadiahkan sepakan penalti pada babak akhir bagi mengelak kekalahan pertama musim ini.

Mora berkata, soal layak atau tidak mendapat sepakan penalti itu bukanlah isu setelah pasukannya bermati-matian mengasak Sri Pahang pada babak kedua bagi memburu gol penyamaan sebelum mengikat permainan 2-2.

“Pengadil perlawanan sudah meniup wisel setelah lihat Bergson Da Silva dijatuhkan dalam kotak penalti, bagi saya kami layak mendapat sepakan penalti.

“Sama ada kami layak untuk dapat penalti itu atau, sama ada pengadil buat keputusan yang tepat atau tidak, itu bukan hak saya untuk mempersoalkan, menerima dengan hati terbuka.

“Kami banyak menyerang pada babak kedua dengan melakukan larian ke dalam kotak penalti, menggelecek dan melakukan rembatan, setiap kali serangan dibuat perkara ini (dihadiahkan sepakan penalti) boleh berlaku,” katanya.

Pengendali kelahiran Mexico itu berkata, skuad Harimau Selatan dipaksa bekerja keras pada perlawanan itu setelah Sri Pahang FC banyak bertahan setelah mendahului permainan 2-1 pada babak pertama.

Katanya, kehadiran pemain tengah kelahiran Argentina, Manuel Hidalgo dan penyerang import, Mahmoud Saleem Za’tara mendatangkan resah buat JDT setelah memainkan peranan penting menghasilkan gol buat pasukan pelawat.

“Perlawanan itu cukup sukar buat kami apabila tidak dapat beraksi di tahap sebenar, segala taktikal perancangan yang dilakukan juga tidak berjalan dengan lancar malah banyak hilang kawalan hingga pihak lawan dapat gunakan kesempatan itu.

“Perlawanan seperti ini mengajar kami untuk tidak boleh hilang fokus yang menjadi punca kami bolos dua kali. Saya tidak meletakkan kesalahan ini kepada seorang pemain, ia seharusnya tanggungjawab dipikul oleh satu pasukan,” ujarnya.

Rehat panjang selama sebulan membuka ruang buat pasukan untuk mendapatkan rehat secukupnya sebelum menyambung aksi Liga Super.

21st May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved