Ngah Wanja Kemudi Jentera Serangan Kedah

Image of Ngah Wanja Kemudi Jentera Serangan Kedah
Alor Setar: Penyerang utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ronald Ngah Wanja hampir pasti dikekalkan bagi memantapkan serangan skuad Sang Kenari bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC.

Beraksi sebagai 'target man' skuad Hijau Kuning pada musim ini dilihat memberi tekanan kuat bagi bekas penyerang skuad kebangsaan Cameroon dan penjaring terbanyak Liga Jordan musim lalu itu, lebih-lebih lagi bagi mempertahankan kedudukan Kedah selalu pasukan naib juara Liga Super.

Memiliki susuk tubuh besar dan tinggi, dia sudah meledak tujuh gol bersama KDA FC setakat ini dan dilihat mampu menjadi antara pencabar penjaring utama liga.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali, peranan Ngah Wanja cukup penting bagi memastikan ketajaman barisan serangan Kedah ditingkatkan bagi menghadapi saingan sengit pada musim ini.

"Kini kami memerlukan pemain tengah menyerang yang boleh berganding serta membuat hantaran bagi membolehkan Ngah Wanja mencipta lebih banyak peluang dan menjaringkan gol.

"Justeru, kami perlu tingkatkan kekuatan jentera tengah dengan kemasukan seorang pemain import bagi membantu jentera serangan dikemudi Ngah Wanja.

"Selain itu, kami sedang berusaha mendapatkan seorang lagi pemain tengah untuk kuota Asean yang mampu bertindak dengan cemerlang sebaik jendela perpindahan dibuka pada 28 Mei ini," katanya.

Selain itu, Khamal berkata, KDA FC kini sedang berusaha mengikat seorang pemain tempatan di bahagian pertahanan bagi memastikan benteng Kedah kembali kukuh seperti diharapkan.

"Kami sedang menilai seorang pemain tempatan yang sedang meningkat naik di bahagian pertahanan dan yakin dengan kemampuan ditunjukkannya.

"Secara keseluruhan setakat ini, Kedah sedang bekerja keras mengikat dua pemain pemain import iaitu kuota Asean dan Asia, serta seorang pemain tempatan bagi mengukuhkan pasukan apabila memasuki jendela perpindahan dibuka nanti," katanya.

25th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved