The Red Warrior di Landasan Tepat Kembali Ke Liga Super

Image of The Red Warrior di Landasan Tepat Kembali Ke Liga Super
KUALA LUMPUR: Kelantan FC kini berada di landasan tepat bagi merealisasikan sasaran untuk kembali dalam kancah Liga Super pada musim depan.

Ia selepas prestasi cemerlang dipamerkan anak buah Rezal Zambery Yahya dengan pasukan dari Pantai Timur itu juga menjadi calon untuk bergelar juara Liga Perdana musim ini.

Walaupun mungkin masih terlalu awal, kejuaraan itu tidak mustahil untuk dicapai sekiranya skuad The Red Warriors (TRW) mampu meneruskan aksi konsisten sepanjang musim ini.

Penyerang Kelantan, Nixon Guylherme menganggap rekod cemerlang di laman lawan setakat ini sebagai satu yang pasti akan memberikan sedikit kelebihan buat mereka dalam mendakap kejuaraan Liga Perdana.

"Kami berjaya memenangi tujuh dari lapan perlawanan di tempat lawan dan apabila bakal bermain di tempat sendiri nanti, saya rasa ini akan berikan kami lebih keyakinan.

"Saya terlepas beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol dan sememangnya saya mahu mendapatkan seberapa banyak jaringan untuk pasukan.

"Namun rakan sepasukan lain melaksanakan tugas yang baik dan kami berjaya memperoleh kemenangan. Fokus kami seterusnya ingin mendapatkan kemenangan pada aksi akan datang apabila bertemu Kelantan United," katanya.

Kelantan berada di kedudukan teratas Liga Perdana ketika ini selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Selangor 2, Ahad lalu hasil jaringan pemain tengah Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohd pada minit ke-61.

Keputusan itu menyaksikan TRW kini mengumpul 21 mata dalam lapan perlawanan, tiga mata mendahului pasukan tangga kedua, Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

25th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved