Beli Pemain Gaji Tinggi Tapi Dikurung Dalam Sangkar - Sanusi

Image of Beli Pemain Gaji Tinggi Tapi Dikurung Dalam Sangkar - Sanusi
Kuala Lumpur: "Hal inilah yang meruntuhkan industri bola sepak, tetapi disangkakan satu sumbangan besar. Alangkah peliknya. Sumbangan besar apa kepada siapa?".

Itu 'serangan' terbaharu Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dipercayai ditujukan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan isu penetapan gaji tinggi.

Dalam posting terbaharu Menteri Besar Kedah itu di laman Facebook miliknya, beliau mengakui penetapan gaji tinggi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) hingga menyebabkan banyak kelab terperangkap dengan isu tunggakan gaji ditetapkan sebuah pasukan.

Katanya, kelab berkenaan menawarkan gaji cukup tinggi, namun akhirnya pemain berkenaan lebih banyak duduk di bangku simpanan atau umpama dikurung dalam sangkar.

"Kedah bukan pasukan super kaya yang harus tunduk sahaja kepada gaya gaji elit diset oleh pihak lain yang berkemampuan membeli pemain terbaik pasukan lain untuk dikurung dalam sangkar mereka.

"Setting gaji super elit itu menyebabkan banyak pasukan bersaing menghadapi masalah kewangan yang turut mengheret kerajaan negeri masing-masing dalam kancah kemelut gaji pemain bola sepak.

"Boleh lihat apa sedang terjadi dengan pasukan Seladang (Perak FC), yang berjiran dengan Kedah. Banyak lagi pasukan lain sedang bergelut dengan isu kewangan.

"Hal inilah yang meruntuhkan industri bola sepak tetapi disangkakan satu sumbangan besar. Alangkah peliknya. Sumbangan besar apa kepada siapa?," katanya.

Sebelum ini, kedua-dua tokoh bola sepak tempatan itu bertikam lidah apabila Sanusi mendakwa wujud 'tokong' dalam bola sepak tempatan hingga menyebabkan persaingan Liga M bergerak seolah-olah tidak adil dan berat kepada pasukan tertentu.

Begitupun, Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) mencabar Sanusi untuk mendedahkan nama individu yang didakwanya 'tokong' itu.

Bukan itu sahaja, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu mengeluarkan komen bahawa pasukan Kedah tidak memerlukan individu seperti Sanusi kerana beliau tidak mempunyai sebarang sumbangan terhadap bola sepak tanah air, disamping mempersoalkan bagaimana Kedah boleh melepaskan dua pemain, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali ke Sabah.

Sanusi menjawab: "Sabah berkemampuan menawarkan pendapatan dan pengalaman lebih kepada mereka selain memilih berada di bawah kendalian jurulatih yang mereka gemari.

"Pertemuan jurulatih dengan pemain dan orang lain sebelum perpindahan itu berlaku pun orang Kedah tahu, tapi itu hak mutlak sebagai pemain dan jurulatih yang menjadi lumrah dalam dunia bola sepak.

"Namun mendakwa mereka berdua itu berpindah kerana 'benci atau marah' dengan seorang orang Kedah, tentulah sukar dibuktikan," katanya.

Di akhir kenyataan Sanusi, beliau sempat mencuit Tunku Ismail dengan bertanya, di manakah di simpannya 'pendrive' lama yang didakwa oleh pemilik JDT wujudnya ketirisan dan rasuah di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas siasatan dalaman dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), disahkan tidak wujudnya sebarang aktiviti mencurigakan dalam 'pendrive' itu.

26th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved