Perak FC Belum Bebas Sepenuhnya Daripada Nasib Malang

Image of Perak FC Belum Bebas Sepenuhnya Daripada Nasib Malang
IPOH: Hasrat Perak FC mahu mendaftarkan 15 pemain baharu bagi memperkukuhkan pasukan untuk menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Perdana di Kuching esok tidak kesampaian.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak meluluskan permohonan Bos Gaurus agar larangan yang dikenakan terhadap pasukan itu ditarik balik.

Pengerusi pemilik Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tiada kuasa membatalkan arahan itu walaupun Perak FC sudah menjelaskan tunggakan gaji pemain tempatan.

Menurutnya, masalah sekarang ialah XOX tidak mendapat angka tepat tuntutan tunggakan pemain import kerana mereka tiada di sini.

“Kami sedang menghubungi ejen pemain terlibat untuk mendapatkan jumlah tuntutan mereka.

“Sehingga itu kami kena tunggu dahulu. Bagaimanapun saya yakin ia dapat diselesaikan dalam tempoh jendela perpindahan kedua dibuka,” katanya.

Katanya, XOX Berhad memberi keutamaan kepada pembentukan pasukan Perak FC yang mantap sebelum melakukan perkara lain.

Beliau berkata, pihaknya mahu pastikan Perak FC berupaya menjadi pencabar kuat dalam baki saingan Liga Perdana.

“Memantapkan pasukan adalah perkara pokok agar dapat memberi saingan dalam liga. Tidak timbul soal pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif dan pegawai-pegawai pasukan ketika ini.

“Kini hanya tinggal baki 10 perlawanan. Perak perlu kutip sebanyak mata untuk keluar daripada kelompok bawahan,” katanya yang berharap Bos Gaurus dapat mengutip sekurang-kurangnya satu mata esok.

27th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved