MFL Pinda Jadual Liga Super Aksi Ketujuh Hingga Ke-10

Image of MFL Pinda Jadual Liga Super Aksi Ketujuh Hingga Ke-10
KUALA LUMPUR - Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan meminda jadual perlawanan ketujuh sehingga kesepuluh Liga Super musim ini bagi memberi laluan kepada persiapan Harimau Malaya dan skuad bawah 23 tahun (B-23) mengharungi kejohanan antarabangsa dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL akan membuat penyelarasan untuk meminda jadual enam perlawanan Liga Super itu, bagi membolehkan pasukan kebangsaan B-23 menyertai latihan pusat dan Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam pada 30 April-23 Mei.

"Ini diikuti kejohanan Piala AFC B-23 di Uzbekistan bermula 24 - 31 Mei membabitkan pasukan berkenaan, manakala skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat bermula 19-29 Mei sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

"Pindaan keseluruhan jadual perlawanan minggu kesepuluh juga dirancang setelah Malaysia diberi peluang menjadi tuan rumah kepada pusingan kelayakan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 8-14 Jun,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Stuart berkata, dengan ketiadaan perjalanan dan kuarantin dalam fasa endemik ini, MFL dapat memberi tambahan hari untuk latihan pusat kepada pasukan kendalian Kim Pan Gon itu sebelum aksi penting berkenaan.

"Pindaan perlawanan Liga Super ini penting kerana ia berkaitan dengan agenda negara dan saya juga merakamkan penghargaan kepada setiap kelab yang memberi kerjasama serta persetujuan menyempurnakan pindaan ini dengan meletakkan kepentingan Malaysia sebagai keutamaan,” katanya. Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada 8 Jun ini, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Pasukan B-23 kebangsaan yang diundi dalam Kumpulan B pada Sukan SEA Hanoi pula akan berhadapan Thailand pada 7 Mei, sebelum bertemu Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).

Sementara itu Stuart berkata pindaan jadual seterusnya mungkin terpaksa dilakukan dengan mengambil kira kelayakan ke peringkat berikutnya (pusingan kalah mati) oleh mana-mana kelab Liga Malaysia yang terbabit iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

6th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved