Skuad Jang Elak Dibaham Sarawak

Image of Skuad Jang Elak Dibaham Sarawak
SEREMBAN: Kejayaan membenam juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur (KL) City FC perlu diteruskan pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) pada pertembungan dengan Sarawak United dalam aksi Liga Super malam esok.

Penolong ketua jurulatih NSFC, K Nanthakumar berkata mereka dituntut memperagakan aksi terbaik dan mendapatkan tiga mata biarpun beraksi di gelanggang lawan.

Katanya, bagi memastikan impian itu dapat dicapai, pemain sudah dipersiapkan dari segala aspek agar momentum tiga kemenangan yang dicapai daripada lima perlawanan sebelum ini dapat dikekalkan.

"Kemenangan ke atas Sarawak yang juga perlawanan keenam musim ini amat penting, dalam usaha untuk menempatkan diri di tempat ketiga carta liga.

"Justeru, kami akan turun ke Kuching dengan misi untuk mendapatkan tiga mata, walaupun kami jangka cabaran berhadapan Sarawak bukan mudah.

"Pasukan perlu mengutip mata sebanyak mungkin pada pusingan pertama ini supaya kedudukan pasukan dalam kelompok teratas carta liga dapat dikekalkan sekali gus sasaran untuk kekal dalam Liga Super boleh dicapai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Nantakumar berkata, persiapan pasukannya ke Kuching berjalan lancar apabila kesemua pemain utama bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan.

"Gandingan Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak dan Matheus Alves masih menjadi taruhan utama untuk memecah benteng Sarawak seterusnya membantu pasukan mendapatkan kemenangan," kata bekas pemain kebangsaan itu.

6th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved