XOX Tekad Kembalikan Kegemilangan Perak

Image of XOX Tekad Kembalikan Kegemilangan Perak
IPOH: Bakal pemilik Perak FC, XOX mahu memastikan Bos Gaurus akan memberi cabaran serius dalam kancah Liga Perdana sebaik sahaja sah mengambil alih pasukan itu.

Pengerusi XOX Berhad, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi yang juga kelahiran Perak menegaskan, mengembalikan zaman kegemilangan Bos Gaurus adalah misi utama mereka ketika bersetuju memiliki kelab tersebut.

“Kita akan perkuatkan pasukan dengan mendapatkan khidmat pemain yang tidak boleh didaftarkan berikutan larangan oleh MFL (Liga Bola Sepak Malaysia),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Azim, setakat ini Perak FC masih milik Impact Media and Communications Sdn. Bhd. (IMC) kerana perjanjian jual beli belum ditandatangani.

“Kita masih diperingkat melakukan due deligence dan sebaik selesai, proses pembelian akan berlangsung.

“Proses itu bertujuan mengetahui segala hutang piutang yang ditanggung Perak FC,” katanya.

Abdul Azim menganggarkan jumlah hutang IMC adalah sekitar RM11 juta, termasuk tunggakan gaji pemain.

Katanya, XOX akan berusaha melunaskan tunggakan gaji pemain agar dapat membebaskan Perak FC daripada hukuman dan larangan serta embargo badan bola sepak dunia, FIFA.

Beliau berharap pembabitan XOX dalam kancah bola sepak Perak akan merintis jalan penyertaan pihak korporat dalam sukan itu.

“Semoga pembabitan XOX membuka mata pihak korporat untuk tampil memiliki pasukan-pasukan lain,” katanya.

8th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved