Kedah Tewas di Tangan Melaka United

Image of Kedah Tewas di Tangan Melaka United
ALOR SETAR – Selepas dimalukan Selangor FC dan Sabah FC sebelum ini, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus gagal menghadirkan kegembiraan buat penyokong setia mereka apabila tewas 3-2 kepada Melaka United di laman sendiri, malam ini.

Kemenangan anak-anak buah Mohd. Asri Ninggal itu terhasil menerusi dua jaringan Ifedayo Olusegun pada minit ke-23 dan masa tambahan separuh masa kedua selain satu gol oleh tonggak tengah dari Ghana, Emmanuel Oti pada minit ke-77.

Dua gol KDA FC pula dijaringkan oleh dua tonggak penyerang mereka iaitu Ronald Ngah Wanja pada minit ke-19 dan Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-36.

Keghairahan pasukan pelawat melakukan serangan dilihat tidak menggentarkan barisan pemain tuan rumah apabila mereka berjaya membuka jaringan menerusi Ronald Ngah pada minit ke-19.

Gol itu terhasil apabila Ronald Ngah melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti yang gagal dijangkau penjaga gol Melaka United, Bryan See di sebelah kiri gawang lawan.

Melaka United bagaimanapun hanya memerlukan empat minit untuk menyamakan kedudukan setelah Ifedayo membuktikan ketajamannya menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-23.

KDA FC kemudiannya kembali di depan pada minit ke-36 apabila Muhammad Syafiq melakukan rembatan berkualiti dari luar kotak penalti menuju ke kanan gawang yang hanya mampu diperhatikan Bryan untuk tuan rumah mendahului 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama.

Pada minit ke-77, penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim melakukan kesilapan apabila gagal menangkap kemas hantaran lambung salah seorang pemain Melaka United ke dalam kotak penalti KDA FC.

Bola tersebut kemudiannya tiba tepat ke kaki Emmanuel Oti yang tidak melepaskan peluang untuk melakukan rembatan deras bagi menghasilkan gol kedua pasukan pelawat.

Pemenang anugerah kasut emas bagi dua musim berturut-turut itu bagaimanapun akhirnya berjaya menjaringkan gol kemenangan Melaka United pada masa tambahan apabila menanduk masuk bola hantaran bekas pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.

9th May, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved