PJ City Ikat Penang FC di Stadium Bandaraya

Image of PJ City Ikat Penang FC di Stadium Bandaraya
GEORGETOWN: Penang FC yang kini dibimbing Zainal Abidin Hassan terus kempunan meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Super apabila terikat 1-1 berdepan PJ City FC di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.

Pada awal permainan, skuad Harimau Kumbang tampak berhati-hati mengatur langkah menggunakan formasi 4-1-4-1 yang menyaksikan Adib Ra'op bersama T Saravanan diletakkan di sayap kiri manakala Faizat Ghazli, Hilal Al Helwee dan Endirck Dos Santosh selaku kapten berada di belakang Casagrande.

Memasuki 28 minit pertama satu percubaan penyerang PJ City, Kogileswaran Raj yang sedikit mengelirukan nyaris memberi gol pertama buat pasukan itu. Namun penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam pantas menyelamatkan.

Penantian pasukan pelawat tidak lama apabila S Kumaahran meletakkan skuad The Pheonix di hadapan pada minit ke-36 sekali gus mencetak gol ketiga peribadinya pada saingan Liga Super musim ini.

Sebelum itu, bola tendangan Kumaahran melantun terkena pertahanan Penang FC, Christian Rontini dengan situasi itu membuatkan penjaga gol, Hafizul Hakim dilihat keliru lalu membuat terbangan di sebelah kiri, sebaliknya tanpa disangka bola tersebut menerjah jaring sebelah kanan.

Babak kedua perlawanan memperlihatkan Casagrande tidak berhasil memanfaatkan sekurang-kurangnya tiga peluang menjaringkan gol melalui percubaan tandukan ditambah faktor PJ City yang dilihat mendominasi permainan dengan baik.

Namun, tandukan pemain impot Brazil atau nama sebenarnya Anselmo Arruda Da Silva itu akhirnya menemui titik penyudah apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63, hasil hantaran lintang rakan sepasukannya, Fairuz Zakaria.

Casagrande selepas itu tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan pada muka dan dikeluarkan pada minit ke-70. Keputusan kekal 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan dengan seramai 1,094 penonton hadir memberi sokongan pada malam tadi.

19th June, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved