Sabah FC Rampas Takhta Liga Super Dari JDT

Image of Sabah FC Rampas Takhta Liga Super Dari JDT
KOTA KINABALU: Sabah FC merampas kedudukan selaku peneraju Liga Super dari Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menewaskan Sri Pahang FC, 2-1 pada aksi di Stadium Likas Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Tiga mata penuh diraih anak didik Datuk Ong Kim Swee memastikan mereka mengumpul 18 mata selepas lapan perlawanan meninggalkan JDT ditangga kedua dengan 16 mata namun penyandang juara Liga Super itu masih kekurangan dua perlawanan.

JDT akan turun pada perlawanan ketujuh menentang Selangor FC dilaman sendiri pada 24 Jun nanti.

Sabah yang dilihat antara pesaing utama musim ini tidak menunggu lama untuk berada didepan hasil jaringan penyerang import, Neto Pessoa pada minit ke-10.

Ketiadaan perancang utama Sri Pahang, Nor Azam Azih nyata begitu dirasai apabila tuan rumah dilihat menguasai penuh perlawanan dengan pelawat hanya lebih banyak bertahan.

Berselang lapan minit kemudian, Sabah memperolehi gol kedua menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti yang dihasilkan pemain import dari Jepun, Taiki Kagayama.

Walaupun Tok Gajah cuba memburu gol pertama bagi merapatkan kedudukan namun persembahan menyakinkan serta berkualiti dipamerkan Sang Badak menyukarkan impian pelawat sehinggalah tamat separuh masa pertama.

Selang 10 minit selepas babak kedua bersambung, Sabah berpeluang untuk menjadikan kedudukan 3-0 selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan pemain Sri Pahang FC.

Bagaimanapun, bekas ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar yang mengambil sepakan tersebut gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila sepakannya melambung tinggi melepasi palang gol.

Usaha Tok Gajah memburu gol akhirnya terhasil menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo pada minit ke-59 untuk kedudukan 2-1.

Tuan rumah sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti Gary Steven Robbat dikasari dalam kotak penalti dan kali ini giliran Pessoa mengambil sepakan tersebut.

Pessoa yang meledak gol pertama buat pasukan juga gagal meletakkan bola dalam gawang untuk menewaskan Zarif Irfan pada minit ke-75.

Berbaki 15 minit terakhir mempamerkan corak permainan pantas kedua-dua pasukan dengan Sri Pahang lebih banyak mengancam namun tiada gol terhasil dan kemenangan memihak Sabah FC.

19th June, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved