Mickey Nafi Dipancing Kelab Liga Thailand

Image of Mickey Nafi Dipancing Kelab Liga Thailand
Kuala Terengganu: Pemain sayap lincah negara, Muhammad Faisal Abdul Halim atau lebih mesra dipanggil 'Mickey' dikatakan di risik kelab dalam Liga Thailand musim depan.

Lebih mengukuhkan lagi spekulasi itu apabila sehingga kini pemain memiliki ketinggian 1.58 meter itu belum menandatangani lagi kontrak lanjutan bersama kelab terkininya, Terengganu FC (TFC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bagaimanapun pemain berusia 24 tahun itu menepis spekulasi berkenaan dengan mendakwa sengaja direka pihak tertentu, malah dia sebenarnya tidak tahu menahu mengenai berita bahawa dia dipancing kelab dari negara Gajah Perang itu musim depan kerana fokusnya kini bersama TFC.

"Cerita itu (kelab Thailand) pun saya tidak tahu dari mana datangnya, terus terang saya katakan tidak ada sebarang tawaran daripada kelab negara berkenaan.

"Fokus saya buat masa ini hanyalah untuk kelab saya, TFC walaupun saya belum menandatangani kontrak baharu (lanjutan) dengan kelab itu.

"Berkenaan dengan kontrak baharu, saya tidak dapat buat lagi keputusan setakat ini, lagipun Liga Super baharu bersambung, jadi apa-apapun keputusan akan datang daripada saya dan bukannya daripada orang luar," katanya.

Berita 'panas' itu mula bertiup kencang selepas pemain kelahiran kampung Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu beraksi cemerlang ketika kempen kelayakan Piala Asia di Kuala Lumpur baru-baru ini termasuk meledak gol pertama dalam karier antarabangsanya ketika skuad Harimau Malaya menumpaskan Turkmenistan 3-1.

Musim lalu kelibat pemain itu dikatakan di risik kelab dari Sepanyol dan Portugal susulan aksi memberangsangkan ketika bersama kem kebangsaan, namun ianya tidak menjadi kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Faisal berkeyakinan pasukannya mampu merakam kemenangan berdepan negeri kelahirannya, Penang FC dalam aksi Liga Super pada Rabu ini.

22nd June, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved