Prestasi Selangor FC Buat JDT Gusar

Image of Prestasi Selangor FC Buat JDT Gusar
JOHOR BAHRU: Prestasi Selangor FC yang secara tib-tiba `meletup' selepas membelasah Sarawak United FC 7-0 pada aksi Ahad lalu mengundang gusar buat Johor Darul Ta'zim (JDT).

JDT perlu tampil agresif seandai ingin kembali melonjak ke tangga teratas liga apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Yang pasti pengendali JDT, Benjamin Mora harus mencari formula yang lebih ampuh apabila berdepan skuad kendalian Michael Feichtenbeiner yang sudah mula menunjukkan taring selepas menang besar pada aksi liga baru-baru ini.

Jika dinilai prestasi JDT pada dua perlawanan terakhir sebelum saingan liga berehat bagi memberi laluan kepada kelayakan Piala Asia 2023, keputusan perlawanan yang terhasil tidak begitu membanggakan selepas hanya mampu menang tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC pada 11 Mei lalu dan terikat seri 2-2 menentang Pahang FC di laman JDT sendiri.

Mora pastinya mempunyai banyak pilihan untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik selepas pemain tengah Natxo Insa yang mengalami kecederaan ketika saingan Liga Juara-Juara Asia baru-baru ini kembali menjalani latihan.

Kelibat Syamer Kutty Abba yang begitu cemerlang bersama Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 juga tidak harus diketepikan dan mampu memberi impak positif di posisi tengah.

Apapun, JDT juga harus berwaspada dengan corak permainan Brendan Gan yang kembali menguatkan skuad Gergasi Merah apabila menjadi watak penting dalam kemenangan besar ke atas barisan pemain Sarawak United FC.

Kelibat Bergson Da Silva yang kini sudah meledak sembiilan gol dan mendahuhuli carta penjaring terbanyak liga pasti ditagih untuk meneruskan rentak cemerlang bagi memburu kemenangan buat skuad Harimau Selatan.

23rd June, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved