Sarawak Buat Melaka Gigit Jari

Image of Sarawak Buat Melaka Gigit Jari
Melaka: Jaringan masa kecederaan menerusi Francis Kone membolehkan Sarawak United (SUFC) mengatasi Melaka United (MU) 3-2 pada aksi liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Malah ketinggalan dua kali kepada tuan rumah tidak pernah menghentikan api perjuangan SUFC sehingga ke wisel penamat menerusi kebangkitan dramatik untuk meraih mata maksimum di gelanggang lawan.

Hijau Putih yang turun dengan keazaman tinggi mencipta kemenangan selepas sekadar seri 0-0 berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) minggu lalu, menyaksikan mereka jelas lebih banyak menguasai babak awal perlawanan untuk memastikan tidak hampa kali ini.

Bagaimanapun, dua percubaan awal menerusi kapten pasukan Sony Norde pada minit ke-7 dan Adriano Narcizo minit ke-12 gagal memecah kebuntuan.

Sementara percubaan Ifedayo Olusegun pada minit ke-16 hasil hantaran lintang Adriano tersasar ke kiri gawang pelawat.

Impian Melaka untuk jaringan pendahuluan akhirnya terhasil selepas Norde merembat kencang ke dalam gawang SUFC pada minit ke-17 hasil hantaran Ifedayo menewaskan penjaga gol Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Tetapi kelebihan gol terbabit tidak lama selepas Sarawak berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-23 hasil jaringan Gonzolo Soto sekali gus menyentap keghairahan tuan rumah untuk lebih berkuasa.

Terkejut dengan jaringan penyamaan terbabit skuad Hijau Putih pantas meledak gol kedua menerusi pemain pertahanan kiri, Syazwan Andik pada minit ke- 34 perlawanan selepas mengutip bola muntah Adriano yang ditepis Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Bersambung babak kedua Sarawak lebih agresif untuk memastikan mereka tidak pulang hampa dengan mengatur gerak menarik dalam usaha mereka menyamakan kedudukan.

Akhirnya, usaha mereka berjaya menyamakan kedudukan hadir menerusi Francis Kone pada minit ke-60 menewaskan penjaga gol Melaka, Tian Keat See untuk terus menekan Melaka.

Ketika perlawanan berakhir dengan keputusan seri Kone sekali lagi menjadi pemusnah menerusi tandukannya pada masa tambahan untuk meraih kemenangan mutlak.

Keputusan itu membolehkan SUFC mengembalikan mereka kepada prestasi yang diharapkan penyokong setia SUFC selepas tewas besar kepada Selangor minggu lalu.

26th June, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved