Sabah Bakal Pertaruhkan Import Baru Jumpa Selangor

Image of Sabah Bakal Pertaruhkan Import Baru Jumpa Selangor
KOTA KINABALU: Sabah FC dijangka mempertaruhkan penyerang baharu kelahiran Portugal, Jose Embalo untuk berdepan saingan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.

Pemain kebangsaan Guinea-Bissau yang menggantikan pemain import dari Brazil, Neto Pessoa itu baru saja tiba beberapa hari lalu untuk menjalani latihan bersama skuad Sang Badak.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun berkata, penampilan Embalo bergantung kepada tahap kecergasannya dalam penilaian akhir kesebelasan utama sebelum sepak mula malam ini.

"Embalo baru saja tiba lebih kurang tiga atau empat hari lalu dan sudah tentu pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum beliau diturunkan pada perlawanan menentang Selangor FC.

"Kita tidak ingin terburu-buru tetapi jika Embalo menunjukkan keyakinan serta memiliki tahap kecergasan tinggi kemungkinan besar beliau boleh diturunkan sebagai kesebelasan utama malam esok (malam ini).

"Ini kerana Sabah FC harus berwaspada dan berhati-hati kepada kebangkitan Selangor FC meskipun mereka tewas dengan jaringan besar kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan lalu (24 Jun)," kata Kim Swee mengulas persiapan Sabah FC berkunjung ke Selangor untuk aksi Liga Super malam ini.

Sabah FC, katanya perlu bersedia berdepan kemaraan Selangor selepas kekalahan 5-1 di tangan JDT kerana pasukan Red Giants itu pasti lebih bersungguh-sungguh untuk mencipta kemenangan dengan kelebihan bermain di laman sendiri.

Paling utama, jelas Kim Swee pemain Sabah FC perlu kekal fokus bagi memastikan mereka dapat memberikan saingan sengit terhadap Selangor dalam usaha membawa pulang tiga mata untuk Sabah.

"Kekalahan Selangor kepada JDT pada perlawanan sebelum ini bukan satu kelebihan kepada Sabah FC, sebaliknya ia mungkin membawa cabaran sengit yang memerlukan percaturan terbaik agar Sang Badak memperolehi keputusan memberangsangkan," katanya.

Mengulas berkenaan status pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani, Kim Swee berkata pemain itu sudah seminggu kembali menjalani latihan bersama Sabah FC.

Saddil katanya menunjukkan komitmen tinggi ketika latihan dan bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan malam ini.

Kemenangan berdepan dengan Selangor FC di gelanggang lawan penting kepada Sabah FC bagi memintas Negeri Sembilan FC dan JDT untuk kembali berada di tangga teratas carta Liga Super.

28th June, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved