Welcome Home, Balik Naik Limo, Daniel Ting Sah Jadi Rekrut Terbaru JDT

Image of Welcome Home, Balik Naik Limo, Daniel Ting Sah Jadi Rekrut Terbaru JDT
Pemain kacukan berdarah Inggeris-Malaysia, Daniel Ting secara rasmi diumumkan sebagai rekrut terbaru JDT sebentar tadi.

Pemain bek kiri itu diumumkan oleh juara Liga Super Malaysia lapan kali berturut-turut melalui satu video yang dikongsikan di laman media sosial kelab itu.

Perkahabaran Daniel Ting kembali menyertai bekas kelabnya itu sememangnya sudah dijangka. Malah spekulasi pemain berusia 29 tahun itu ke JDT sudah bertiup kencang sejak beliau meninggalkan KL City FC pada awal musim ini.

Malah keberadaan Daniel Ting di Stadium Sultan Ibrahim untuk menyaksikan perlawanan JDT vs Selangor sebelum ini dipercayai adalah untuk melengkapkan perpindahan beliau ke JDT sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ditutup secara rasmi.

Pemain kacukan Malaysia-England itu sebelum ini mencipta misteri kepada peminat bola sepak tempatan apabila menghilang dan gagal melaporkan diri kembali kepada KL City FC sebelum saingan musim ini bermula.

Faktor peribadi dikatakan sebagai sebab mengapa pemain itu enggan kembali di Malaysia dan kekal di England pada ketika itu.

Akhirnya sebab utama Daniel Ting enggan kembali ke negara ini dan meneruskan aksi bersama KL City didedahkan kerana keengganannya menerima suntikan vaksin Covid-19.

KL City kemudiannya mengesahkan pemain bek kiri itu terpaksa dilepaskan.

Setelah diumumkan secara rasmi pada hari ini, ini bermakna ia adalah kepulangan kedua Daniel Ting ke JDT selepas menyertai kelab itu pada 2016.

Selama dua musim di JDT pada 2016 dan 2017, karier Daniel Ting bagaimana pun serba tidak menjadi, dan beliau hanya diturunkan bersama JDT II dan gagal meletakkan diri di dalam skuad utama Harimau Selatan.

Sebelum ini Daniel turut pernah menyertai Negeri Sembilan secara pinjaman sebelum ke PKNS FC.

Ia tidak menghairankan mengapa JDT kembali berminat untuk mendapatkan kembali Daniel Ting selepas cemerlang membantu KL City muncul juara Piala Malaysia pada musim lalu.

Selain itu, JDT memerlukan seorang pemain di posisi bek kiri untuk memberi saingan dan cover-up kepada Corbin Ong.

28th June, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved