Nafuzi Mahu TFC Buru Gol Awal

Image of Nafuzi Mahu TFC Buru Gol Awal
Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menuntut anak buahnya agar dapat menghidu peluang lebih awal untuk memburu jaringan bagi menyuntik semangat dalam misi mengutip tiga mata ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Pengendali kelahiran Kelantan itu juga mengingatkan pemainnya agar bijak bertahan dan mengatur gerakan dengan bermain sebagai satu pasukan bagi mengelak pintu gol dibolosi pasukan Hobin Jang Hobin itu.

Nafuzi akui bukan tugas mudah menumpaskan lawan biarpun beraksi di laman sendiri kerana skuad kendalian K Devan itu kini berada pada tahap prestasi terbaik selain turut diperkuatkan import baharu, Yashir Pinto dan Gustavo Dos Santos.

Namun tambahnya, jika pemain berjaya mengikut taktikal dirancang dan tidak mengulangi kesilapan sama ketika tewas 1-2 kepada Penang FC minggu lalu, tidak mustahil kemenangan bakal berpihak kepada pasukan kendaliannya.

"Misi kita sudah pasti tiga mata lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri, ini yang saya tegaskan kepada pemain ketika sesi latihan. Jadi saya ingatkan pemain agar tidak mengulangi aksi bersahaja pada awal permainan sebagaimana ketika menentang Penang FC tempoh hari, hanya selepas ketinggalan mereka baharu bangkit, situasi ini sepatutnya tidak berlaku kerana bola sepak bermula pada minit pertama lagi.

"Pemain juga perlu mencari gol seawal mungkin bagi menyuntik semangat mereka ketika beraksi selain menuntut jentera tengah dan pertahanan berfungsi dengan baik serta bijak bertahan," katanya ketika ditemui ketika sesi latihan semalam.

Mengulas lanjut, Nafuzi menjelaskan beliau mungkin akan melakukan rombakan kecil bagi meneruskan rekod baik di tempat sendiri selain mengembalikan semula rentak kemenangan pasukan.

"Kami mahu meneruskan rekod cemerlang di laman sendiri, jadi setiap pemain perlu memainkan peranan lebih cemerlang bagi mengelak dijerat lawan," katanya.

Selain penjaga gol, Rahadiazli Rahalim yang dijangka mengambil posisi berkenaan, pemain import pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFC II), Petrus Shitembi turut dijangka membarisi skuad TFC.

Berdasarkan rekod musim ini, TFC berjaya menumpaskan NSFC 2-1 pada aksi Piala FA pusingan pertama 29 April lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

29th June, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved