Jodi Amat Pemain Termahal Liga Malaysia

Image of Jodi Amat Pemain Termahal Liga Malaysia
KUALA LUMPUR: Takhta pemain termahal Liga Malaysia (Liga M) sekali lagi bertukar 'baton' selepas juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa masuk pertahanan tengah baharu pada jendela perpindahan kedua, Jordi Amat.

Gelaran yang sebelum ini dipegang penyerang skuad Harimau Selatan, Fernando Forestieri yang ketika ini bernilai RM4.02 juta menjadi milik bekas pemain Rayo Vallecano dan Swansea yang dianggarkan bernilai RM4.6 juta.

Nilai pasaran semasa pemain itu diperoleh menerusi semakan daripada laman sesawang terkenal bola sepak, transfermarkt.com.

Situasi ini menyaksikan JDT terus menghimpun 'koleksi' pemain termahal Liga Super selepas beberapa pemain mereka sebelum ini turut memegang 'tanda harga' tertinggi seperti Forestieri, Gonzalo Cabrera (RM2.93 juta), Jonathan Herrera (RM5.96 juta) dan Diogo Santo (RM4.8 juta).

Malah, pemain berusia 31 tahun itu pernah mencatat nilai pasaran tertinggi sebanyak RM23 juta ketika bersama Real Betis pada 2018.

Semakan lanjut ke atas nilai pasaran pemain Liga M yang lain turut mendapati beberapa 'muka baharu' yang akan menyertai kancah bola sepak tempatan pada jendela perpindahan kedua memasuki senarai 10 teratas.

Antaranya adalah penyerang baharu Sri Pahang FC (SPFC), Steven Rodriguez menjadi pemain keenam termahal Liga M apabila memegang 'tanda harga' bernilai RM1.8 juta.

Selain itu, pemain tengah baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud Al Mardi pula bernilai RM1.5 juta manakala seorang lagi pemain import baharu Tok Gajah iaitu Sherzod Fayziev bernilai RM1.38 juta.

Mengulas mengenai situasi itu, ejen berpengalaman, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan nilai pasaran Jordi bukanlah satu yang mengejutkan memandangkan pemain itu berpengalaman di pentas ternama Eropah.

Effendi yang yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd itu turut memaklumkan tindakan JDT mengikat pemain itu sebagai langkah yang bijak untuk meningkatkan prestij Liga M.

"Ini langkah bijak daripada JDT kerana ia akan menaikkan nama kelab secara tidak langsung dan juga Liga M, di mana akan lebih ramai pemain dunia mahu mengetahui mengenai Malaysia dan juga JDT.

"Apabila ramai pemain ternama mahu datang ke sini (Liga M), penaja luar juga akan bertambah dan mula meninjau peluang untuk menaja. Liga kita turut menerima tempias kerana semua ini ada rantaian yang berhubung kait antara satu sama lain.

"Jadi saya harap, kelab-kelab lain selain JDT harus bergerak secara profesional seperti yang dilakukan JDT agar liga kita terus berkembang jadi industri yang besar," katanya.

Nilai pasaran tertinggi pemain Liga M:



Jordi Amat (JDT): RM4.6 juta

Fernando Forestieri: (JDT) RM4.2 juta

Hyuri (Selangor FC): RM2.53 juta

Jackson de Souza (Sabah FC): RM2.18 juta

Bergson dan Silva (JDT): RM2.07 juta

Steven Rodriguez (SPFC): RM1.8 juta

1st July, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved