PJ City hampir bikin Melaka gigit jari di laman sendiri

Image of PJ City hampir bikin Melaka gigit jari di laman sendiri
MELAKA: Melaka United United FC gagal meneruskan rentak kemenangan selepas terikat 2-2 dengan PJ City FC pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, malam tadi.

Selepas menang bergaya keatas Selangor FC dua minggu lalu di gelanggang sama, tuan rumah bermula garang dengan melakukan asakan dan percubaan bahaya ke kubu pelawat seawal minit ke-9 menerusi penjaring terbanyak musim lalu, Ifedayo Olusegun namun buntu.

Malah skuad Hang Tuah terus mencipta peluang dua minit selepas itu menerusi percubaan Fadli Shas, namun kali ini berjaya diselamatkan penjaga gol PJ City, Kamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Peluang terbaik Melaka mendahului lawan hadir pada minit ke -13, namun tolakan Mohd Syukri Baharun yang hanya berdepan Kalamullah tersasar ke kanan gawang. Pelawat turut memiliki peluang namun percubaan bekas pemain kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri diselamatkan penjaga gol, Tan Keat See.

Penguasaan barisan tengah Melaka dalam babak awal perlawanan akhirnya membuahkan hasil selepas Emmanuel Oti membuka jaringan pertama pada minit ke-36 bagi memastikan tuan rumah terus bersemangat memburu mata maksimum.

Gol berpunca daripada hantaran Ifedayo, sebelum Oti menewaskan tiga pertahanan lawan menerusi rembatan kencang menewaskan Kalamullah. Pun begitu, kelebihan Melaka itu tidak bertahan lama, apabila penyerang kebangsaan Darren Lok menyamakan kedudukan dua minit sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, gerakan kedua-dua pasukan terus rancak untuk mencari jaringan namun buntu. Ifedayo paling hampir meletakkan Melaka di depan pada minit ke-57 tetapi rembatannya tersasar.

Percubaan itu meningkatkan aksi lebih agresif pelawat walaupun tidak memiliki barisan import untuk melakukan kejutan keatas tuan rumah selepas rembatan kapten pasukan, K Gurusamy berjaya menerjah jaring Melaka untuk gol kedua pada minit ke-70.

Ketinggalan satu gol, skuad Hang Tuah pantas bangkit bagi memastikan tidak hampa di laman sendiri selepas kapten pasukan, Sony Norde melakukan percubaan untuk gol penyamaan 2-2 pada minit ke-76.

Selepas jaringan itu, kedua-dua pasukan cuba mencari tambahan jaringan bagi meleraikan keputusan seri. Namun semua usaha mereka gagal membuahkan hasil untuk masing-masing meraih satu mata.

20th July, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved