Melaka United Mudah Belasah Penang

Image of Melaka United Mudah Belasah Penang
Perlawanan Liga Super ini adalah di antara pasukan Melaka United selaku tuan rumah yang menentang Penang FC. Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan memihak kepada Melaka United dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.

Gol Melaka dijaringkan oleh Emmanuel Oti, Adriano, Ifedayo Olusegun dan Justin Baas manakala gol Penang dijaringkan oleh Lucas Silva.

Perlawanan dimulakan dengan penguasaan oleh Melaka United dan hasilnya seawal minit ke-4 mereka di depan melalaui Emmanuel Oti yang menyudahkan hantaran lolos daripada Adriano Narcizo sekaligus menjadikan kedudukan 1-0 memihak Melaka United.

Penguasaan penuh ditampilkan Melaka United dengan saling bertukar-tukar hantaran pendek manakala Penang dilihat bergelut untuk mengatur serangan.

Adriano hampir menggandakan kedudukan buat Melaka United pada minit ke-19 namun sepakan percumanya berjaya ditepis Hafizul Hakim di gawang Penang.

Adriano akhirnya menjaringkan gol kedua Melaka United pada minit ke-36 kali ini melalui rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Melaka terus menguasai perlawanan dan pada minit ke-58. Ifedayo menambah duka Penang dengan gol ketiga selepas menyudahkan hantaran lintang Syazwan Andik.

Belum sempat Penang mengatur serangan Melaka menambah jaringan lagi kali ini melalui Justin Baas pada minit ke-60 yang menyudahkan hantaran Sony Norde.

Melaka dilihat terus meguasai bola dan Penang terus bergelut untuk mengatur gerak.

Lucas Silva akhirnya berjaya meledak gol pertama buat Penang dalam perlawanan ini selepas menyudahkan sepakan percuma menarik pada minit ke-86 untuk merapatkan jurang menjadi 4-1.

Kedudukan 4-1 kekal sehingga wisel penamat ditiup dan kemenangan menjadi milik Melaka United. Kemenangan ini membawa Melaka United naik ke tangga ke-6 liga daripada kedudukan ke-8 sebelum perlawanan ini.

Manakala Penang kekal di tangga tercorot liga dan kekalahan ini merupakan kekalahan ke-8 mereka untuk saingan Liga Super musim ini.

27th July, 2022

WhatsApp
Telegram
Gobola Apps 2022. All Rights Reserved